KAJ Development, DIEZ jalin kerjasama

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: KAJ Development Sdn Bhd, pemaju utama Projek Melaka Gateway telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Bersepadu Dubai (DIEZ) bagi kerjasama dalam pelaburan dan operasi Zon Bebas Cukai di Pulau 1 (PME1).

Zon Bebas Cukai yang dicadangkan itu akan menukar Melaka Gateway menjadi hab perniagaan antarabangsa yang terulung.

Selain MoU, pertukaran dua dokumen perjanjian (MoA) bagi pembangunan di PME1 Projek Melaka Gateway diadakan di Malaysia Pavilion membabitkan pembangunan Terminal Kapal Pelayaran Antarabangsa Melaka (MICT).

Ia membabitkan antara syarikat yang dilantik oleh KAJ Development, MG Velocity Sdn Bhd, dengan X Infinity Property Sdn Bhd serta Total Group Bhd.

“Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.5 bilion, MICT akan menyediakan kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Bebas Cukai, hotel mewah serta ruang perniagaan. MICT dijadual siap pada 2025, kata KAJ Development dalam satu kenyataan.

Projek Melaka Gateway di PME1 turut mencakupi pembinaan taman tema moden bertaraf dunia, yang mana ia dijangka akan menarik lebih lima juta pengunjung setiap tahun membabitkan jumlah pelaburan RM1.5 bilion.

KAJ Development memeterai perjanjian dengan Assetwall Sdn Bhd bagi pembinaan taman tema berkenaan dan taman tema itu dijangka siap pada awal 2026.

Melaka Gateway dilihat akan menjadi ‘Pintu Pelaburan Asia’ yang bakal menjadi pemangkin bagi perniagaan baharu serta kawasan pertumbuhan ekonomi serantau.

Projek berbilion ringgit itu membabitkan pembangunan bersepadu bertaraf dunia yang bakal menarik kemasukan pelabur asing.

Ia juga menawarkan pelbagai bentuk peluang kerjasama yang akan menyaksikan impak ekonomi yang besar bukan saja terhadap Melaka bahkan negara dan juga rantau ini.

Projek berskala mega itu dijangka menarik pelaburan sebanyak lebih RM46 bilion selain menyumbang lebih RM125 bilion kepada pertumbuhan dalam negeri kasar Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM1.2 trilion.

Sementara, PME1 semata-mata akan menyumbang lebih RM32.5 bilion kepada pertumbuhan dalam negeri kasar Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM306.73 bilion.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini