STOCK SAHAM.CO

Jumlah dagangan Malaysia lepasi paras RM2 trilion

KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion buat pertama kalinya pada 2021 dengan peningkatan 24.9 peratus tahun ke tahun berbanding penurunan 3.3 peratus pada 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport naik 26.1 peratus kepada RM1.2 trilion, disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

“Eksport domestik melepasi paras satu trilion buat pertama kalinya, menokok 26.6 peratus tahun ke tahun, manakala eksport semula meningkat 24.0 peratus kepada RM229.0 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata import pada 2021 turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 23.3 peratus untuk mencapai nilai tertinggi RM987.3 bilion.

“Sementara itu, imbangan dagangan kekal dengan lebihan bagi tahun ke-24 berturut-turut sejak 1998 kepada RM253.7 bilion dengan kenaikan 38.4 peratus,” tambahnya.

Menurutnya kenaikan eksport didorong terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke China dengan pertumbuhan 20.9 peratus atau RM33.3 bilion berikutan eksport kukuh gas asli cecair, barangan perkilangan logam dan barangan elektrik dan elektronik (E&E).

Ini diikuti Amerika Syarikat (RM33.2 bilion), Singapura (RM31.8 bilion), Kesatuan Eropah (RM19.4 bilion), Vietnam (RM14.7 bilion), Jepun (RM13.3 bilion) dan Australia (RM10.1 bilion) berikutan peningkatan eksport barangan E&E.

Menurut kenyataan itu, eksport ke India tumbuh 48.7 peratus atau RM14.8 bilion susulan eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Peningkatan import pula dipacu oleh import yang lebih tinggi dari China dengan nilai peningkatan RM56.8 bilion, yang didorong import yang lebih tinggi bagi barangan E&E serta kimia dan bahan kimia.

Ini diikuti Singapura (RM20.0 bilion, keluaran petroleum), Indonesia (RM19.4 bilion, arang batu), Kesatuan Eropah (RM17.7 bilion), Taiwan (RM17.2 bilion) dan Jepun (RM12.4 bilion) dengan masing-masing disokong oleh pertumbuhan eksport barangan E&E.

DOSM berkata, import dari Thailand meningkat 32.3 peratus atau RM11.1 bilion, disumbangkan oleh kenaikan import bagi kelengkapan pengangkutan.

Lonjakan peningkatan eksport pula diterajui oleh barangan E&E (RM69.7 bilion); keluaran petroleum (RM34.3 bilion); barangan perkilangan logam (RM24.7 bilion); minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (RM23.5 bilion) dan keluaran getah (RM20.3 bilion).

Ini disusuli oleh kimia dan bahan kimia (RM19.9 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak sawit (RM11.7 bilion) dan jentera, kelengkapan dan peralatan (RM10.5 bilion).

Sementara itu, kenaikan ketara import dicatatkan oleh barangan E&E (RM61.5 bilion); keluaran petroleum (RM29.5 bilion); kimia dan bahan kimia (RM22.3 blilion); barangan besi dan keluli (RM8.8 bilion) serta jentera, kelengkapan dan peralatan (RM8.5 bilion).

Ini diikuti oleh import emas, bukan bentuk wang (RM8.1 bilion); barangan perkilangan logam (RM7.2 bilion); arang batu (RM7.0 bilion) dan keluaran getah (RM6.9 bilion).

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular