STOCK SAHAM.CO

JLand, Mitsui teroka projek pusat data hiperskala

KUALA LUMPUR: JLand Group Sdn Bhd, cabang hartanah milik penuh Johor Corp (JCorp) dan Mitsui & Co Ltd akan meneroka peluang perniagaan dan projek strategik di Ibrahim Technopolis (IBTEC), termasuk Sedenak Tech Park (STeP), di Johor dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan, JLand berkata, bagi tujuan itu, ia menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Mitsui bagi mencetus kerjasama strategik antara dua entiti itu.

“Sebagai permulaan, JLand dan Mitsui akan menjalankan kajian berdaya maju bersama pembangunan pusat data hiperskala, serta kemudahan tenaga boleh diperbaharui dalam bentuk ladang solar untuk menggerakkan pusat data di kawasan seluas 283.28 hektar di STeP.

“Selepas selesai kajian, JLand, Mitsui dan pemaju bersama akan membentuk perkongsian usaha sama untuk melabur, membangunkan serta mengendalikan projek ini,” katanya.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata kerjasama strategik dengan Mitsui adalah tumpuan khusus dan bukti projek kemampanan syarikat dalam memenuhi matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau yang juga Pengerusi JLand berkata, kerjasama itu juga akan membabitkan rakan industri lain sebagai pembangun bersama, yang akan menyumbang kepakaran sektor dan pemindahan pengetahuan sepanjang fasa pelaburan, reka bentuk, pembangunan serta penyelenggaraan projek.

“Dalam ekonomi digital yang semakin bergantung kepada data, kami secara proaktif mengenal pasti dan melaksanakan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk masa depan penyahkarbonan pusat data.

“Inisiatif ini adalah antara satu pencapaian utama untuk wawasan JCorp mengenai masa depan yang mampan, sambil memastikan negeri dan negara mecapai aspirasi penyahkarbonan,” katanya.

Menurut syarikat itu, sebagai sebahagian daripada MoU, JLand dan Mitsui juga akan meneroka potensi usaha niaga pelaburan lain dalam portfolio kumpulan, seperti IBTEC, yang memfokuskan pada pembangunan industri termaju dan teknologi mesra alam, serta perniagaan pelabuhan.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini