Jetro perkukuh kerjasama ekonomi Jepun-Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) berhasrat untuk memperdalam kerjasama antara syarikat Jepun dan Malaysia selaras dengan bidang-bidang pertumbuhan baharu dalam era selepas pandemik.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Jetro, Nobuhiko Sasaki, berkata Dasar Pandang Ke Timur (LEP) telah membina persefahaman dan hubungan yang kukuh antara syarikat-syarikat Jepun dan Malaysia untuk merebut peluang perniagaan baharu serta mengatasi gangguan dalam ekonomi di bawah fasa endemik COVID-19 pada masa ini.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-40 LEP Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mempelajari dan mencontohi amalan kerja Jepun.

Sasaki berkata, hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara dijangka terus kukuh dan mewujudkan peluang perniagaan baharu yang Jetro berminat untuk mempromosikan terutamanya dalam pembuatan pintar, produk makanan Jepun dan pembangunan neutral karbon.

“Dalam sektor pembuatan, kami ingin mempromosikan pemadanan perniagaan antara syarikat Malaysia dan Jepun dalam pembuatan pintar untuk memperkenalkan penyelesaian industri 4.0,” katanya.

Sasaki berada di Malaysia baru-baru ini untuk menyertai persidangan bersama Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia ke-39 yang diadakan di sini pada 1 Ogos lalu.

Sepanjang tiga hari berada di negara ini, beliau telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin daripada sektor kerajaan dan perindustrian, membincangkan cara untuk menambah baik lagi pelaburan dari Jepun ke Malaysia serta mempromosikan pelbagai bidang perniagaan antara kedua-dua negara, termasuk mengembangkan perniagaan ke negara-negara ketiga dari Malaysia.

Beliau berkata, terdapat banyak kisah kejayaan pembangunan dan perkembangan perniagaan antara syarikat pemula niaga serta syarikat Malaysia dan Jepun dalam pelbagai sektor.

“Pada tahun fiskal ini, kami ingin mengukuhkan sokongan padanan antara syarikat-syarikat utama dan modal teroka Jepun dengan syarikat Malaysia, memupuk asas untuk pembentukan perniagaan dua hala.

“Jetro juga akan menyokong padanan perniagaan dalam sektor hijau melalui J-Bridge, platform perniagaan untuk penciptaan inovasi terbuka antarabangsa antara syarikat Jepun, syarikat pemula niaga dan syarikat digital,” kata Sasaki.

Beliau menekankan di bawah J-Bridge untuk tahun kewangan 2022, Jetro menyasar untuk mengukuhkan kerjasama dengan pemacu swasta seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Sunway iLabs dan NEXEA untuk menggalakkan penyebaran maklumat dan sokongan padanan dalam bidang digital serta menyelesaikan masalah sosial di Malaysia.

Sasaki juga berkata, syarikat-syarikat Jepun berminat untuk menyumbang kepada agenda neutral karbon Malaysia dan Jetro merancang untuk menyediakan laporan ringkas syarikat Malaysia utama dalam sektor ini selain mengadakan webinar.

Dalam hal ini, beliau berkata, PETRONAS dan tiga syarikat Jepun telah mengumumkan projek penyelidikan bersama untuk mengumpul dan menyimpan karbon dioksida di negara itu.

Malaysia, seperti Jepun telah menetapkan matlamat untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kepada sifar.

“Menggalakkan penyahkarbonan adalah tonggak penting pembaharuan ekonomi dan sosial dengan kerajaan Jepun menubuhkan dana inovasi hijau bernilai dua trilion yen untuk menyokong syarikat yang mengusahakan penyelidikan dan pembangunan neutral karbon termasuk demonstrasi dan pelaksanaan sosial hasil yang diperolehi,” katanya.

Sasaki menyatakan, penyahkarbonan telah menjadi aktiviti pelaburan penting bagi Jepun manakala isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga mula memberi kesan yang ketara ke atas rantaian bekalan.

“Isu ESG kini dilihat sebagai syarat pelaburan, pembiayaan dan berurusan dengan pelanggan. Tambahan pula, sikap menghormati isu ESG telah menjadi sumber daya saing antarabangsa,” katanya.

Sasaki berkata satu lagi inisiatif baharu Jetro ialah sektor halal, menyaksikan minat perniagaan dalam bidang ini semakin meningkat.

“Sebagai inisiatif baharu Jetro, kami merancang untuk mempamerkan secara kekal sampel makanan Jepun yang disahkan halal dan mesra halal di Kuala Lumpur, memperkenalkan produk dan menawarkan sampel kepada pembeli Malaysia selain menjalankan rundingan perniagaan dalam talian.

“Beberapa produk yang dipamerkan secara kekal akan dipaparkan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang akan diadakan pada September dan akan diperkenalkan kepada pengunjung perdagangan.

Selain itu, Sasaki menekankan Malaysia akan menjadi lebih menarik sebagai destinasi pelaburan untuk syarikat-syarikat Jepun dengan memanfaatkan kelebihan strategik dan ekonomi yang diperoleh daripada Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF).

Beliau berkata, memandangkan IPEF diiktiraf sebagai rangka kerja untuk memperdalam penglibatan ekonomi dalam kalangan negara yang mengambil bahagian, Jepun dan Malaysia adalah antara rakan kongsi, ia akan mengukuhkan lagi kerjasama dan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

“Diharapkan piawaian atau standard bersama akan diwujudkan dalam kalangan negara yang mengambil bahagian mengenai daya tahan rantaian bekalan, tenaga bersih dan penyahkarbonan, ekonomi digital, piawaian buruh, ketelusan dan amalan kawal selia.

“Pembentukan standard bersama ini dijangka dapat menggalakkan penyelarasan peraturan antara Jepun dan Malaysia,” tambahnya.

Bagi Malaysia khususnya, ia akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab untuk industri elektrik dan elektronik serta memantapkan rantaian bekalan semikonduktornya, jelas Sasaki.

Dalam hal ini, Malaysia mempunyai kelebihan lokasi fungsi hab dengan peningkatan transaksi antara wilayah dan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah berkuat kuasa untuk Malaysia pada Mac tahun ini, tambahnya.

“Bagi perdagangan barangan, skop penggunaan konsesi tarif akan diperluas kerana Jepun, China, dan ASEAN yang mempunyai jumlah dagangan yang besar akan berada dalam zon ekonomi yang sama.

“Untuk meningkatkan kadar penggunaan, adalah penting bagi kerajaan setiap negara untuk memberikan maklumat yang diperlukan dengan tepat kepada syarikat yang menggunakannya, dengan kata lain, memusatkan dan menyebarkan maklumat berkaitan RCEP,” katanya.

Sasaki menambah dalam era pascapandemik, perdagangan dan pelaburan berkemungkinan akan berkembang pesat dengan trend baharu muncul dalam rangka kerja dan perjanjian perdagangan.

“Jumlah nilai perdagangan antara Jepun dan ASEAN pada suku pertama 2022 adalah kira-kira AS$63 bilion.

“Ini jauh lebih tinggi daripada nilai sebelum pandemik dan ia adalah jumlah tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh sembilan tahun setengah,” katanya.

Perdagangan dengan Malaysia turut berkembang, katanya sambil menambah pada suku pertama 2022, ia melebihi AS$10 bilion, peningkatan 30 peratus daripada tempoh prapandemik berbanding suku pertama 2019.

“Pelaburan langsung di Malaysia juga mencecah AS$2.1 bilion pada 2021, tertinggi sejak 2015,” katanya.

Menurut Sasaki lagi, syarikat Jepun telah mula bergerak ke hadapan selepas pandemik dengan meningkatkan pelaburan di luar negara di tengah-tengah cabaran dalam rantaian bekalan yang mempengaruhi pengeluar.

“Jelas sekali bahawa rantaian bekalan sedia ada terdedah kepada kecemasan,” katanya.

Selain daripada terdedah kepada kecemasan, Sasaki berkata pergeseran AS-China dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine telah menjadikan keselamatan ekonomi sebagai isu keutamaan bagi kerajaan dan perniagaan.

“Dalam erti kata lain, dari perspektif geopolitik, ia menjadi lebih penting untuk membina rantaian bekalan yang berdaya tahan untuk persediaan menghadapi segala kemungkinan yang mendatang.

“Jetro juga menyokong pengenalan peralatan, projek demonstrasi dan kajian kebolehlaksanaan atau kemungkinan, antaranya untuk mempelbagaikan pangkalan pengeluaran luar negara bagi mengukuhkan rantaian bekalan antara Jepun dan ASEAN,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini