Inflasi, kadar faedah mungkin naik lagi tahun depan

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia dan kadar faedah dijangka naik tahun depan yang akan menjejaskan permintaan kredit, mendorong beberapa pengguna berpendapatan rendah menghadapi kesukaran membayar hutang, kata S&P Global Rating.

Ia juga memberi tekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik, namun risiko itu mampu diatasi, katanya dalam Prospek Perbankan Global Pertengahan Tahun 2022.

“Kualiti aset bank juga bergantung kepada pekerjaan di negara ini memandangkan 59 peratus daripada rekod pinjaman oleh bank berkait dengan isi rumah. Kami menjangkakan kadar pengangguran bertambah baik pada 2022 tetapi kekal lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik.

“Ia adalah berdasarkan kepada laporan Penilaian Risiko Negara Industri Perbankan (BICRA),” katanya.

Mengenai pelancaran bank digital baharu, laporan itu berkata bank tradisional akan mengekalkan bahagian pasaran mereka dan ia adalah sesuatu yang menarik untuk melihat bagaimana model perniagaan bank tradisional itu akan berkembang dan bertindak balas kepada persaingan digital.

Awal tahun ini, lima konsortium diberi lesen bank digital oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Pemohon yang berjaya masih perlu membuktikan kesediaan operasi mereka sebelum mereka boleh memulakan operasi, ia boleh mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan,” katanya.

Laporan itu juga berkata pertumbuhan pinjaman sektor akan pulih semula kepada enam peratus pada 2022 daripada 4.5 peratus pada 2021, disokong oleh keadaan makroekonomi yang bertambah baik.

Ia mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.1 peratus pada 2022 berbanding 3.1 peratus pada 2021.

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi harga tenaga yang lebih tinggi sebagai pengeksport tenaga bersih terutama gas.

“Bagaimanapun, kenaikan harga tenaga mungkin tidak dikenakan kepada pengguna domestik, berpotensi mengimbangi sebahagian daripada faedah kepada pengeluar,” katanya.

Penampan modal yang kukuh bank-bank di Malaysia pada 15.2 peratus daripada nisbah ekuiti biasa Tahap-1 setakat 31 Disember 2021 dan pembayaran dividen secara berhemat adalah kekuatan utama yang menyokong kedudukan kredit dan penarafan bank yang stabil.

Mengenai pinjaman tidak berbayar, ia menjangkakan ia akan meningkat antara 2.5 peratus dan 3.0 peratus menjelang akhir 2022 daripada 1.6 peratus pada akhir April 2022 selepas tamat tempoh moratorium pinjaman.

Kos kredit akan menurun 40 hingga 50 mata asas (bps) tetapi kekal lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik disebabkan oleh pemulihan pinjaman yang tidak sekata di bawah moratorium tersebut, kata laporan itu.

Daripada sudut positif, laporan itu berkata mungkin terdapat sedikit peningkatan untuk margin faedah bersih sektor itu, ia menjangkakan BNM akan menaikkan kadar faedah sekurang-kurangnya 75 mata asas pada tahun 2022.

Menurut laporan itu, pertumbuhan kredit yang lebih tinggi dan menyederhanakan kos kredit akan menyokong pendapatan tetapi peningkatan kepada keuntungan bersih adalah terhad disebabkan cukai kemakmuran secara sekali sahaja dalam Bajet 2022 dan hapus kira yang lebih tinggi.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini