Industri media berdepan cabaran getir

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Cabaran besar menanti industri media tempatan susulan kegusaran berhubung kadar inflasi boleh menjejaskan prospek positif sektor itu.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jeffrey Tan, berkata susulan keadaan tidak menentu dan turun naik pasaran, perbelanjaan pengiklanan (adex) kasar bulanan jatuh 2.7 peratus pada Mei, penurunan pertama sejak Januari 2021.

“Sebelum ini, kami menjangkakan pertumbuhan adex kasar sebanyak 9.2 peratus sejak Januari hingga Mei 2022, keadaan di mana industri belum merasai kesan tekanan inflasi sepenuhnya, selain dikukuhkan sebahagiannya oleh perbelanjaan tertangguh selain musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

“Kami melihat kecenderungan Media Prima Bhd terkesan oleh keadaan ekonomi yang menandakan pendapatan dasar mungkin akan terkesan jika keadaan adex terjejas pada bulan-bulan mendatang.

“Adex TV kasar Media Prima menunjukkan penurunan dua hingga 18 peratus selama empat bulan berturut-turut dari Februari hingga Mei. Bagi tempoh lima bulan pertama, adex TV susut 4.5 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.

Tan berkata, wujud juga hubung kait dengan tarikh pilihan raya tetapi tidak muktamad di mana analisis RHB Investment Bank mendapati prestasi Astro Malaysia Holdings Bhd dan Media Prima pada dua pilihan raya umum (PRU) yang lalu menunjukkan terdapat trend yang berkait.

“Bagi PRU13, keuntungan tertinggi bagi kedua-dua saham (9 hingga 17 peratus) direalisasi jika pelabur membeli saham tiga hingga enam bulan sebelum hari mengundi.

“Untuk PRU14 pula, pelabur didapati (mendapat pulangan) lebih baik apabila mengumpul saham hampir dengan hari pilihan raya dengan meraih keuntungan tertinggi tiga bulan kemudiannya,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan saham adalah langkah penting selepas sektor media mengalami penurunan nilai kira-kira 20 peratus daripada paras tertinggi ekoran risiko geopolitik meruncing dan jangkaan kenaikan kadar faedah.

“Kami mendapati persekitaran adex mencabar dan isu-isu struktur mengekang sentimen sektor. Saranan saham kami berkait rapat dengan pemangkin tertentu mengikut saham,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini