STOCK SAHAM.CO

Harga getah dijangka dipengaruhi pergerakan harga minyak mentah

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka dipengaruhi oleh pelan hala tuju pengeluaran terbaharu yang mungkin diumumkan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) pada mesyuarat mereka minggu depan.

OPEC+ berkemungkinan akan mengekalkan pengeluaran semasa pada mesyuarat 3 Ogos mereka selepas pengurangan pengeluaran berakhir menjelang Ogos ini selepas pelarasan yang bersifat menurun dari Mei 2020.

Pasaran juga mungkin akan cuba menilai semula kesan daripada kelembapan ekonomi global termasuk sekatan COVID-19 oleh China ke atas permintaan getah selain inflasi yang meningkat, menurut seorang peniaga.

Katanya, pasaran juga akan memantau teliti data sektor pembuatan terkini yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low percaya pasaran domestik mungkin menuju ke arah mod spekulatif pada minggu depan dengan pelabur yang bimbang mula melindungi nilai kedudukan mereka di tengah-tengah ketidaktentuan yang memanas dalam pasaran global dan bekalan.

“Pasaran getah dijangka akan menerima dorongan besar untuk menjadi lebih tinggi disebabkan aktiviti penstokan dan pembelian spekulatif.

“Hujan sporadik di negara-negara pengeluar telah mendorong kepada aktiviti penstokan agar peniaga tidak terperangkap dalam situasi tidak cukup bekalan. Ini sememangnya satu perkara yang membimbangkan apabila cuaca menjadi tidak menentu,” katanya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir, pasaran getah kebanyakannya lebih tinggi sebelum mengakhiri minggu dengan nota negatif selepas ekonomi Amerika Syarikat (AS) menguncup tanpa diduga pada suku kedua, mencetuskan kebimbangan kemelesetan baharu.

Pada Khamis lepas, Biro Analisis Ekonomi mengumumkan keluaran dalam negara kasar AS jatuh pada kadar tahunan 0.9 peratus dalam tempoh April-Jun.

Sehari sebelum itu, China mengumumkan langkah COVID-19 yang ketat, menutup metropolis Wuhan selepas mengesan empat kes tanpa gejala.

Pada nota yang lebih positif, Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) mengunjurkan pasaran getah asli akan terus bertambah baik tahun ini kerana penggunaan dijangka menokok 5.8 peratus kepada 1.21 juta tan.

Dari Jumaat ke Jumaat, SMR 20 ditutup 1.5 sen lebih rendah pada 681 sen sekilogram berbanding 682.5 sen sekilogram sebelumnya, manakala lateks pukal bertambah 4.0 sen kepada 531 sen sekilogram berbanding penutupan minggu sebelum ini iaitu sebanyak 527 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 678.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 530.5 sen sekilogram.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular