Empat telco utama belum pasti sertai 5G

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Masih tiada jaminan bahawa empat syarikat telelomunikasi utama (telco) iaitu Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile akan memeterai perjanjian borong 5G atau memperoleh kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB) menjelang tarikh akhir hujung bulan ini.

Penganalisis RHB Research, Jeffrey Tan, berkata telah lebih dua bulan sejak kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan model rangkaian borong tunggal (SWN) dan menerbitkan dokumen akses rujukan menerusi DNB.

“Bahagian utama yang mencetuskan pertikaian adalah berhubung larangan struktur penetapan harga borong (perjanjian selama 10 tahun), keupayaan untuk ‘mempengaruhi’ langkah membuat keputusan dan justifikasi pelaburan mereka tanpa kepentingan majoriti dalam DNB,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Tan berkata, semasa membentangkan keputusan kewangan suku pertama 2022 baru-baru ini, Axiata berkata ia akan dapat memenuhi tarikh akhir tawaran berkenaan.

“Ia juga tidak pasti jika kerajaan akan mengalah kepada cadangan oleh telco untuk mendapatkan kawalan majoriti DNB, dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia (Tan Sri Annuar Musa) berkata, keputusan berhubung perkara itu masih belum diambil.

“Tiada kata putus mengenai SWN terus menjadi penghalang utama sektor ini, dengan telco Malaysia mencatatkan prestasi terburuk dalam kalangan telco di ASEAN-4 setakat tahun ini,” katanya.

Kerajaan, menerusi Kementerian Kewangan pada 16 Mac lalu bersetuju mengekalkan model SWN bagi pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G di negara ini dengan membuka tawaran pemilikan ekuiti sehingga 70 peratus dalam DNB kepada telco.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa mengumumkan perkara itu berkata, dengan struktur pemilikan baharu, kerajaan akan memegang 30 peratus ekuiti dalam DNB.

Beliau berkata, DNB akan dikawal selia oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), manakala Kementerian Kewangan akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.

Katanya, mengekalkan model SWN adalah pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia, malah turut melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh, serta kemantapan ekosistem pembiayaan sektor swasta, yang semuanya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

“Selepas mempertimbangkan beberapa model yang berbeza untuk pelaksanaan rangkaian 5G nasional, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G negara yang berpandukan bekalan dan berdasarkan pemulihan kos melalui SWN.

“Seperti yang diputuskan oleh Jemaah Menteri, kerajaan akan menawarkan sehingga 70 peratus daripada ekuiti DNB kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong,” kata Tengku Zafrul ketika itu.

Pelaksanaan rangkaian 5G adalah penting bagi Malaysia untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Kelewatan dalam pelaksanaan rangkaian 5G akan menjadikan ekonomi Malaysia kurang berdaya saing berbanding negara serantau yang sudah mempunyai rangkaian 5G.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini