KUALA LUMPUR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya sesuai dilaksanakan semula ketika ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan kukuh, kadar inflasi dan pengangguran yang terkawal serta peningkatan gaji yang baik bagi menjamin kesejahteraan pengguna terutama golongan rentan.
Ahli Ekonomi dan bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata cadangan melaksanakan kembali GST adalah untuk meningkatkan hasil kerajaan, namun kebajikan pengguna yang membentuk bahagian terbesar isi rumah berpendapatan rendah termasuk golongan rentan boleh terkesan.
Beliau berkata, perlu diingatkan bahawa pandemik COVID-19 adalah era kemerosotan kesejahteraan yang ditunjukkan menerusi kadar pengangguran dan kadar inflasi yang lebih tinggi, selain paras gaji yang lebih rendah berbanding sebelumnya.
Malah, beliau menegaskan bahawa Malaysia sebenarnya mengalami krisis kos sara hidup yang berpanjangan sebelum memasuki era pandemik COVID-19.
“Sebagai cukai kepenggunaan, pengenalan kembali GST akan menjejas kesejahteraan pengguna. Justeru, GST yang bakal dilaksanakan semula mestilah tidak dilakukan pada ketika tahap kesejahteraan berada pada di paras yang kritikal. Jika tidak, ia akan memburukkan lagi krisis kesejahteraan.
“Ketika ekonomi negara telah menunjukkan tanda pemulihan mantap dengan kadar pertumbuhan yang kukuh dan kadar inflasi dan kadar pengangguran terkawal serta gaji meningkat dengan baik, itulah ketika yang paling sesuai GST segera dilaksanakan semula,” katanya.
Zakariah berkata, sebagai instrumen percukaian, isu penting sering diperhatikan ialah kesan kesaksamaan ketika pengguna melakukan pembelian barangan dan perkhidmatan, khusus dalam memastikan GST yang bakal dilaksanakan semula itu memungut hasil yang lebih besar daripada pengguna berpendapatan tinggi berbanding pengguna berpendapatan rendah.
Beliau berkata, ia boleh dilakukan dengan mengenakan kadar yang berbeza atau dengan pengecualian kepada produk kepenggunaan, sekali gus membolehkan hasil GST diagihkan kembali kepada pengguna berpendapatan rendah melalui program bantuan sosial.
“Amalan pengenaan kadar standard dan kadar sifar boleh diteruskan seperti yang pernah dilaksanakan dulu, selain pemberian pengecualian.
“Ketika pertama kali memperkenalkan sistem percukaian ini, kita gagal mencapai manfaat cukai nilai tambah ini bukan kerana kelemahan dalam kaedah percukaian, tetapi kelemahan dalam pelaksanaan membayar balik tuntutan, yang menimbulkan masalah serius,” katanya.
Pakar ekonomi itu berkata, GST adalah instrumen yang sangat berkesan dalam mempengaruhi tingkah laku pembelian pengguna dan seterusnya dalam permintaan agregat ekonomi.
Beliau menjelaskan, pengenaan kadar yang lebih rendah berbanding pelaksanaan kali pertama boleh menyerap kesan kepada kesejahteraan isi rumah berpendapatan rendah.
“Seperti akaun fiskal, akaun isi rumah juga sedang parah. Hutang isi rumah sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia kekal tinggi, antara peratusan yang tinggi dalam kalangan negara di dunia.
“Keberhutangan isi rumah disebabkan gaji pekerja, sebagai sumber utama pendapatan isi rumah, adalah rendah berbanding dengan produktiviti untuk tempoh waktu yang agak lama sehingga menjadikan syer upah kepada KDNK berada di paras lebih kurang 37 peratus saja.
“Paras ini rendah berbanding kebanyakan negara di dunia dan disasarkan berada pada 40 peratus menjelang 2025,” katanya.
Zakariah berkata, masalah gaji yang rendah ditambah dengan inflasi yang berlarutan terutama untuk barangan asas yang dibeli oleh pengguna, mencetuskan fenomena peningkatan kos sara hidup.
Sehubungan itu, katanya kebajikan isi rumah sepatutnya diberikan perhatian yang khusus ketika negara terpaksa menimbang untuk mengurangkan defisit dua akaun, iaitu akaun sektor awam di satu pihak dan akaun sektor isi rumah di satu pihak yang lain.
“Sesungguhnya, isi rumah adalah pemegang taruh utama. Pengenaan GST untuk mengatasi masalah defisit fiskal akan juga melebarkan lagi defisit akaun isi rumah kecuali program bayaran pindahan melalui bantuan sosial dilaksana dengan berkesan,” katanya.