STOCK SAHAM.CO

Eksport dijangka meningkat 26 peratus tahun ini

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: AmBank Research membuat semakan semula dengan meningkatkan unjuran pertumbuhan eksport negara kepada sebanyak 26.0 peratus bagi 2022, lebih tinggi berbanding unjuran dibuat sebelum ini iaitu 8.0 peratus.

Malah, cabang penyelidikan AmBank Group itu juga menaikkan unjuran import kepada sebanyak 25.0 peratus tahun ini berbanding unjuran sebelum ini sebanyak 10 peratus.

Ketua Ahli EKonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata semakan semula yang meningkat itu dibuat berikutan purata harga jualan yang lebih tinggi dilihat mengatasi sebarang kekurangan dalam volum yang terkesan oleh gangguan bekalan dan kekurangan tenaga kerja.

Beliau berkata, Malaysia terus mendapat manfaat daripada prestasi semikonduktor global yang utuh, terutama daripada purata harga jualan memandangkan jumlah eksport berdepan ketidaktentuan daripada gangguan rantaian bekalan dan kekurangan tenaga kerja.

“Bidang eksport lain yang dilihat mendapat manfaat daripada harga yang lebih kukuh berbanding pertumbuhan volum ialah produk petroleum (pertumbuhan 81.2 peratus atau sebanyak RM5.6 bilion) dan produk berasaskan minyak sawit yang dikilangkan (pertumbuhan 74.7 peratus atau sebanyak RM1.6 bilion),” katanya dalam nota penyelidikannya.

Dass berkata, pertumbuhan yang kukuh daripada input perantaraan, komponen dan material import untuk membuat produk untuk kegunaan dalam negara dan luar negara boleh dilihat secara positif.

Beliau berkata, ia dilihat mendapat manfaat daripada kuasa yang semakin meningkat dalam perdagangan dunia dan globalisasi pengeluaran serta penggunaan yang lebih banyak input import untuk eksport.

Katanya, komponen import lain seperti penggunaan meningkat sebanyak 19.3 peratus pada Mei, menjadikan purata lima bulan kepada 20.4 peratus, manakala import modal susut sedikit sebanyak 0.8 peratus, menjadikan purata lima bulan kepada 10.2 peratus.

Jelasnya, pertumbuhan nilai import negara juga didorong terutamanya oleh nilai yang lebih tinggi daripada pembelian dari negara termasuk China, Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

“Dengan import yang kukuh, ini sudah tentu akan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik dan eksport. Ini dicerminkan oleh import kita telah melepasi paras RM100 bilion pada April dengan bacaan Mei berjumlah RM107.9 bilion.

“Import utama kita adalah produk elektrik dan elektronik (48.0 peratus), bahan kimia (20.8 peratus), produk petroleum (75.6 peratus) dan mesin, perkakas dan komponen (11.4 peratus) berdasarkan perubahan tahun ke tahun,” katanya.

Mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi, Dass berkata, pihaknya masih kekal dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun penuh 2022 pada 5.6 peratus.

Beliau berkata pertumbuhan akan disokong oleh pembukaan semula ekonomi dan pengurusan vaksin lebih baik, yang akan meningkatkan penggunaan swasta dan keadaan perniagaan serta diperkukuhkan lagi oleh harga komoditi yang kukuh, peningkatan kukuh eksport dan pembuatan terutama dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E).

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini