STOCK SAHAM.CO

#EcoWorld catat keuntungan lebih besar

Pemaju , Eco World Development Group Bhd () merekodkan keuntungan bersih RM63.36 juta pada suku pertama berakhir 31 Januari 2022, disokong oleh jualan berjumlah RM1.28 bilion.

Keputusan kewangannya itu meningkat sedikit sebanyak 1.49 peratus daripada RM62.43 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, pendapatan suku dikaji meningkat 5.14 peratus kepada RM533.42 juta daripada RM507.35 juta, hasil daripada penjimatan kos fasa pembangunan siap dan hampir siap.

“Mengikut perbandingan sukuan, keuntungan bersih kumpulan meningkat 47.92 peratus daripada RM42.84 juta yang dilaporkan pada suku sebelumnya, manakala pendapatan turun 19.91 peratus daripada RM666.05 juta,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah, berkata jualan di ketiga-tiga wilayah berkembang kukuh berbanding tempoh sama tahun lalu dengan peratusan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh projek di Iskandar Malaysia (meningkat sebanyak 194 peratus) diikuti Pulau Pinang (meningkat 110 peratus).

“Projek Lembah Klang juga berjaya dengan baik dengan pencapaian RM709 juta yang mewakili 56 peratus daripada jumlah jualan kumpulan sehingga 28 Februari 2022.

“Kami amat gembira dengan rangsangan jualan sangat kukuh yang diterima daripada jualan membabitkan pelancaran baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, EcoWorld bekerja keras untuk mengembangkan campuran produk dan asas pelanggan mereka dengan tumpuan untuk menarik pembeli rumah baharu dan keluarga muda yang membentuk asas bagi pertumbuhan jangka panjang perbandaran yang bertenaga.

Katanya, penamatan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) oleh kerajaan pada 31 Disember lalu tidak memberi sebarang kesan ketara terhadap momentum jualannya yang terus dikekalkan sepanjang Januari hingga Februari 2022.

“Kami sentiasa mempunyai pengikut yang kukuh daripada kalangan pembeli yang mencari untuk menaik taraf dan mencari rumah mewah.

“Pelancaran sejak beberapa bulan lalu adalah menjurus kepada memenuhi keperluan pasaran yang lebih beraspirasi ini kami gembira dengan sambutan yang diterima sehingga kini,” katanya.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular