#BNM siapkan prototaip mata wang digital bank pusat

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank menyempurnakan versi prototaip platform dikongsi bersama yang membolehkan penyelesaian antarabangsa menggunakan pelbagai mata wang digital bank pusat (mCBDC).

Projek Dunbar, yang diterajui oleh Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, membuktikan bahawa institusi kewangan boleh menggunakan CBDC yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat peserta untuk melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain menggunakan platform yang dikongsi bersama.

Pengaturan itu berpotensi mengurangkan pergantungan pada pihak pengantara, justeru, kos dan masa yang diambil untuk memproses transaksi rentas sempadan dapat dikurangkan.

Projek itu disusun mengikut tiga aliran kerja, iaitu satu memberikan tumpuan pada keperluan dan reka bentuk fungsi pada tahap tinggi, manakala dua aliran teknikal yang bergerak secara serentak untuk membangunkan prototaip menggunakan dua platform teknologi yang berbeza (Corda dan Partior).

Ketua Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, Andrew McCormack, berkata platform yang dikongsi bersama adalah model yang paling cekap bagi kesalinghubungan pembayaran, namun model ini paling mencabar untuk dilaksanakan.

Beliau berkata, Projek Dunbar membuktikan bahawa kebimbangan utama mengenai kepercayaan dan kawalan bersama boleh ditangani menerusi mekanisme tadbir urus yang dikuatkuasakan melalui kaedah teknologi yang mantap.

“Hal ini menjadi asas bagi pembangunan platform global dan serantau pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail, berkata Projek Dunbar yang berjaya disempurnakan itu menghasilkan pemahaman yang bermanfaat mengenai bagaimana platform pelbagai CBDC berpotensi menyelesaikan isu yang kompleks dalam ruang pembayaran rentas sempadan.

Beliau berkata, projek itu membuktikan kepentingan kerjasama bank pusat dalam menyokong pembangunan infrastruktur pembayaran generasi akan datang.

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan pemahaman itu melalui pembuktian konsep yang lain untuk meneruskan penerokaan CBDC,” katanya.

Dapatan projek juga mengesahkan bahawa sebarang pengaturan yang diwujudkan perlu tertakluk pada tadbir urus yang bersesuaian oleh bank pusat peserta.

Hal itu termasuk membenarkan bank-bank pusat mengekalkan kawalan terhadap peraturan yang dikenakan pada peringkat bidang kuasa dan mata wang.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini