LONDON: Lift 109, lif kaca setinggi 109 meter di cerobong asap ikonik Battersea Power Station akan dibuka kepada orang ramai bermula 15 November ini.
Tiket bagi menaiki lif berkenaan boleh dibeli di www.lift109.co.uk, demikian kata Battersea Power Station dan IMG, firma hiburan dan acara global dalam satu kenyataan.
Lift 109 itu akan menjadi salah satu pengalaman paling unik di London, dengan tetamu boleh menikmati cerobong asap bangunan ikonik itu sambil menikmati pemandangan 360 darjah latar langit bandar yang menakjubkan.
Pengalaman menaiki Lift 109 akan bermula di Dewan Art Deco Turbine yang mengagumkan, apabila pengunjung boleh melayari kekayaan sejarah bangunan ikonik dan seni binanya menerusi himpunan rekod asal dan paparan multimedia yang disusun rapi.
Pengarah Pajakan Battersea Power Station Development Company (BPSDC), Dan Westley, berkata Lift 109 akan menjadi tarikan yang benar-benar unik, yang mana pengunjung boleh pergi ke puncak salah satu cerobong paling ikonik di dunia dalam lif kaca.
Beliau berkata, ia benar-benar menjadikan projek penjanaan semula itu lebih menarik, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai destinasi pelawat terbaharu London, selepas bangunan tersenarai Gred II* dibuka kepada orang ramai pada 14 Oktober lalu.
“Kami tidak sabar untuk menyambut penumpang Lif 109 pertama dan menggalakkan orang ramai untuk membeli tiket mereka,” katanya.
Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Urusan Seni dan Acara Hiburan IMG, Stephen Flint Wood, berkata pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Battersea Power Station untuk membawa tarikan baharu yang menakjubkan itu.
Beliau berkata, Lift 109 akan menawarkan pemandangan London yang tiada tandingan, serta pandangan interaktif mengenai tenaga di sebalik ikon.
“Pameran baharu yang mengasyikkan dan platform tontonan unik ini akan menarik perhatian pelawat ke Stesen Janakuasa dari seluruh London, United Kingdom (UK) dan dunia,” katanya.
Tiket untuk Lift 109 dijual pada harga £11.50 (RM62.99) bagi kanak-kanak, £15.90 (RM87.10) bagi orang dewasa dan £50.40 (RM276.08) bagi keluarga.
Operasi Lif 109 bermula jam 10 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Khamis dan dari jam 10 pagi hingga 8 malam dari Jumaat hingga Ahad.
Battersea Power Station dimiliki konsortium pelabur Malaysia iaitu pemaju hartanah, S P Setia Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (40 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (20 peratus), sementara pengurusan pembangunan projek itu dilaksanakan oleh BPSDC.