Bank digital tumpu PKS, pinjaman tak bercagar

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Penerima lesen bank digital dijangka memberi tumpuan dalam segmen mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pinjaman tidak bercagar dan tawaran produk pengurusan kekayaan terpilih dalam tempoh terdekat, demikian menurut penganalisis.

RHB Research berkata, tumpuan dalam segmen berkenaan adalah sejajar dengan tujuan pemberian lesen bank berkenaan untuk menangani segmen yang kurang mendapat perkhidmatan.

Katanya, kehadiran peserta bank digital dijangka tidak memberi gangguan serta merta kepada bank sedia ada memandangkan tempoh kesediaan operasi oleh penerima lesen bank berkenaan dijangka mengambil masa 12 hingga 24 bulan untuk selesai.

Ia percaya, bank sedia ada yang sudah mengambil langkah pendigitalan operasi akan mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk menangkis potensi persaingan daripada peserta bank digital baharu itu.

“Kami tidak melihat pemberian (lesen bank digital) mengganggu bank konvensional, walaupun ada jangkaan hakisan berterusan pada bahagian pembayaran perniagaan, yang tidak dijangka tidak ketara memandangkan pengendalian urus niaga itu tidak begitu menguntungkan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Pada 29 April lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan lima pemohon berjaya mendapatkan lesen bank digital yang diluluskan oleh Menteri Kewangan Malaysia.

Tiga penerima yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) ialah konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd dan konsortium yang diterajui oleh Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Penerima yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) pula ialah konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc dan konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd.

Bank digital memiliki fungsi yang hampir sama dengan bank tradisional atau fizikal, dengan menawarkan perkhidmatan seperti simpanan kewangan, pengeluaran, pemindahan, bahagian deposit dan aliran data transaksi.

Perbezaan ketara adalah penerapan teknologi seperti sistem kecerdasan buatan (AI) bagi setiap penawaran perkhidmatan kewangan yang dijalankan pada bank digital.

Sementara itu, Kenanga Research turut berpandangan bahawa kemasukan bank digital ke dalam sektor kewangan Malaysia tidak menimbulkan sebarang cabaran segera kepada operasi bank sedia ada memandangkan penubuhannya mengambil masa dan skala operasi yang lebih kecil berbanding bank konvensional.

Ia berkata, operasi bank digital adalah lebih kecil berbanding operasi bank konvensional memandangkan jumlah had aset adalah sebanyak RM3 bilion pada fasa asas tiga hingga lima tahun selepas pelancaran.

“Kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan buat masa ini, kerana bank digital baharu dijangka tidak menghasilkan sebarang impak persaingan segera,” katanya menerusi satu nota.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini