STOCK SAHAM.CO

Bajet 2023 perkukuh asas pembangunan sosioekonomi

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang menumpukan aspek pemulihan ekonomi serta tanggungjawab fiskal, juga bertujuan memperkukuh asas bagi memacu pembangunan sosioekonomi selain membuktikan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB Holdings Bhd (AmBank) Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata ini juga sejajar dengan usaha memastikan kestabilan Malaysia di tengah-tengah senario cabaran landskap ekonomi yang berterusan.

“Sehubungan itu, AmBank gembira dapat menyumbang terhadap sokongan berterusan kerajaan ke atas pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penyumbang utama ekonomi Malaysia.

“PKS ini pastinya mendapat manfaat daripada peningkatan peruntukan dan insentif seperti Semarak Niaga Keluarga Malaysia 2023 selain RM45 bilion merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif serta jaminan kewangan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata akses pembiayaan PKS turut ditingkatkan, termasuk Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan yang menambah had jaminan sehingga RM9 bilion untuk PKS, sekali gus turut membantu dari segi peningkatan sumbangan untuk ekonomi negara.

Tidak ketinggalan, inisiatif pengurangan pendapatan bercukai bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan petanda baik, terutama dalam persekitaran mencabar dengan banyak perniagaan bergelut untuk pulih daripada pandemik serta dihimpit isu aliran tunai, kata Sulaiman.

Beliau juga mengingatkan kepentingan bagi PKS untuk menerimaguna pendigitalan serta memanfaatkan sektor dengan prospek kukuh bagi membuka potensi pertumbuhan serta mengubah perniagaan sedia ada yang kalis masa depan.

Berikutan itu, langkah kerajaan mewujudkan dana RM10 bilion menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyokong automasi dan pendigitalan PKS serta sektor pelancongan dan pertanian adalah tepat pada masanya dan dilihat sebagai satu keperluan.

“Memandangkan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terus mendapat pengiktirafan di arena antarabangsa, peruntukan RM1 bilion menerusi Kemudahan Peralihan Rendah Karbon bagi PKS itu akan membantu mengukuhkan lagi daya tahan perniagaan serta kemampanan sambil menyumbang kepada aspirasi Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih karbon,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini