KUALA LUMPUR: Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat (AS) dalam usaha mengukuhkan cadangan nilai Malaysia sebagai destinasi pilihan dan rakan perdagangan.
Misi yang bermula dari 9 hingga 18 Mei 2022 itu amat penting bagi Malaysia membabitkan diri dengan rakan perniagaan di negara itu dan meningkatkan lagi kerjasama ekonomi Malaysia-AS, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan.
Ia akan memberi tumpuan kepada peluang hubungan dua hala yang luas dengan agenda utama mengenai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pengukuhan rantaian bekalan.
Di Washington, Azmin dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Perdagangan AS, Gina M Raimondo dan Wakil Perdagangan AS, Katherine Tai.
Mesyuarat itu akan mengetengahkan keupayaan dan kapasiti Malaysia dalam sektor strategik, termasuk memajukan ESG dalam perdagangan dan pelaburan serta Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) mengenai komitmen ekonomi AS terhadap rantau ini.
Azmin dan Gina Raimondo juga akan menandatangani memorandum kerjasama antara Malaysia dan AS untuk menggalakkan kerjasama dua hala yang lebih mendalam dalam usaha daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.
Kerjasama itu sudah pasti menunjukkan peranan penting Malaysia dalam memastikan kestabilan rantaian bekalan global dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitannya.
Komitmen kukuh kerajaan untuk memajukan ekonomi hijau, dasar mesra perniagaan dan langkah komprehensif yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dua hala dengan rakan industri utama akan memacu penciptaan nilai Malaysia dalam memajukan daya saing negara.
Ia adalah selaras dengan aspirasi negara ke arah pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 seperti yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Aspirasi Pelaburan Nasional juga akan menjadi topik perbincangan teras pada misi itu.
Misi perdagangan dan pelaburan itu juga akan merangkumi lawatan kemudahan dan mesyuarat perniagaan dengan syarikat terkemuka benua Amerika serta bakal pelabur dalam sektor bernilai tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), peranti perubatan, teknologi logam, telekomunikasi, perabot dan perkhidmatan.
Pembabitan itu disasarkan untuk mendapatkan peluang perniagaan baharu dan menarik pelaburan teknologi tinggi, berintensif modal serta nilai tambah tinggi dengan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Pada 2021, AS adalah destinasi perdagangan dan eksport ketiga terbesar Malaysia, serta sumber import keempat terbesar, yang mana jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 21.4 peratus kepada RM217.10 bilion berbanding 2020.
Eksport Malaysia ke AS meningkat 30.4 peratus kepada RM142.20 bilion disumbangkan terutama oleh eksport E&E dan produk getah yang lebih tinggi.
Import dari AS juga meningkat sebanyak 7.4 peratus bernilai RM74.87 bilion, disumbangkan oleh peningkatan import E&E dan produk logam.
AS adalah pelabur asing keempat terbesar di Malaysia dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan, dengan sejumlah 840 projek pembuatan bernilai RM84.97 bilion yang mewujudkan 188,396 pekerjaan.
Pelaburan utama dari AS adalah dalam sektor E&E, jentera & peralatan dan kimia.