5G tawar kemungkinan tanpa batasan untuk Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp

SYARIKAT telekomunikasi terkemuka, Ericsson menyatakan komitmen dan sokongan penuh kepada Digital Nasional Berhad (DNB) dalam pelaksanaan rangkaian bertaraf dunia yang bakal memacu manfaat 5G di Malaysia.

Perkara itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson, Börje Ekholm ketika kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini.

Dengan kadar pelaksanaan 5G di Malaysia yang menjadi antara projek terpantas di dunia, Ekholm turut berpuas hati apabila liputan rangkaian berkenaan tersedia dalam tempoh hanya enam bulan selepas kontrak dianugerahkan kepada Ericsson.

“Usaha kerajaan untuk memacu 5G dan perkembangan positif dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) akan melengkapkan aspirasi digital negara dan menambah baik ketersambungan untuk pengguna akhir,” katanya.

Tambah Ekholm, Ericsson berada di landasan kukuh bagi melancarkan kira-kira 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di Malaysia menjelang akhir 2024.

Menerusi operasi bekalan globalnya, Ericsson memberi jaminan untuk membekalkan produk yang canggih serta bertaraf dunia secara pantas dan konsisten supaya DNB dapat mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

“Malaysia adalah pasaran penting bagi Ericsson dan kami sudah memulakan pengeluaran radio 5G di sini yang bakal diperluaskan lagi tahun ini,” kata Ekholm.

Dengan 125 rangkaian langsung di 55 negara, Ericsson bukan sahaja menjadi peneraju global 5G, bahkan diiktiraf sebagai peneraju industri apabila menduduki tempat teratas dalam ‘Frost Radar™: Global 5G Network Infrastructure Market bagi tahun kedua berturut-turut.

Malah, syarikat itu juga dinobatkan sebagai pemimpin dalam laporan 2022 Magic Quadrant for 5G Network Infrastructure for Communications Service Providers oleh Gartner.

“Kepimpinan global 5G dan teknologi kami adalah hasil pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan dan meluas. Lebih daripada satu perempat tenaga kerja global Ericsson kini berkhidmat dalam R&D,” katanya.

Menurut Ekholm, Ericsson melabur lebih daripada 18 peratus pendapatan globalnya dalam R&D dan memiliki lebih daripada 60,000 paten yang diluluskan di seluruh dunia, menjadikannya pemegang portfolio paten yang terbesar dalam industri.

Syarikat itu juga menjadi pemilik kebanyakan paten 5G yang penting. Justeru katanya, tidak hairan jika Ericsson menerajui beberapa pencapaian teknikal yang bermakna dalam pelancaran rangkaian 5G di Malaysia.

Aplikasi teknologi Pembahagian Sumber Radio Dinamik oleh Ericsson pada Rangkaian 5G DNB adalah yang pertama seumpamanya di dunia, membolehkan kesemua enam MNO menyampaikan perkhidmatan 5G yang diperibadikan dengan prestasi terjamin.

Inovasi ini juga membolehkan setiap MNO membezakan tawarannya kepada pengguna pada rangkaian 5G yang dikongsi.

Baru-baru ini, Ericsson dan DNB mendemonstrasikan panggilan Voice over New Radio (VoNR) negara yang pertama menerusi rangkaian 5G langsung.

Ini bakal menjadi penggerak bagi aplikasi generasi akan datang yang menawarkan pengalaman yang lebih realistik dengan gabungan kelajuan pantas dan audio definisi tinggi.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini