Unitrade Industries bakal ke Bursa Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Unitrade Industries Bhd memeterai perjanjian penajajaminan dengan M&A Securities Sdn Bhd susulan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Unitrade dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang Mei 2022 dengan M&A Securities bertindak sebagai penasihat, penaja, penajajaminan dan ejen penempatan bagi IPO itu.

IPO itu membabitkan tawaran awam sejumlah 312.5 juta saham-saham baharu yang mewakili 20 peratus daripada penambahan modal sahamnya selain tawaran jualan sejumlah 125 juta saham-saham sedia ada.

Daripada 312.5 juta saham baharu, sebanyak 78.1 juta saham diperuntukkan bagi orang awam Malaysia melalui undian manakala 63.5 juta saham bagi pengarah, kakitangan serta mereka yang layak dan telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan serta 53.7 juta saham untuk penempatan persendirian bagi pelabur terpilih, kata kenyataan syarikat itu.

Selain itu, sejumlah 117.2 juta saham pula dikhususkan untuk peruntukan persendirian bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Bagi 125.0 juta saham untuk dijual, sejumlah 78.1 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI, dan 46.9 juta saham akan diberikan kepada pelabur terpilih,” katanya.

Unitrade yang berpangkalan di Selangor, adalah pemborong dan pengedar bahan binaan serta mempunyai 6,319 pelbagai jenis unit simpanan stok (SKU) seperti paip, injap, kelengkapan dan aksesori kerja-kerja mekanikal dan elektrik (M&E) serta produk keluli dan bahan binaan lain untuk kerja-kerja sivil.

Syarikat itu juga mempunyai rangkaian 483 pembekal tempatan dan luar negara dengan perkhidmatan untuk 1,232 pelanggan aktif yang merangkumi kontraktor M&E, kontraktor bangunan, peniaga, pengeluar serta peruncit.

Unitrade juga terbabit dalam pembuatan dan penjualan paip prapenebat dan perkhidmatan sewaan peralatan sokongan struktur sementara untuk aktiviti pembinaan bangunan.

“Pemeteraian perjanjian penajajaminan dengan M&A Securities turut menandakan permulaan bagi fasa akhir usaha penyenaraian kami.

“Langkah penyenaraian itu mempunyai pelbagai manfaat yang melangkaui daripada anggaran kutipan RM100 juta yang bakal dikumpul. Ia dapat meningkatkan pendedahan jenama dan kedudukan kami di mata pemberi pinjaman, pelanggan dan pembekal, sekali gus menambahbaik pilihan pembiayaan serta kredit,” kata Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng.

Beliau turut menjangkakan langkah pembukaan semula sempadan antarabangsa akan disusuli dengan pengumuman lebih banyak projek pembangunan dan infrastruktur yang berupaya meningkatkan lagi permintaan bagi bahan binaan.

“Unitrade yang juga antara pemborong dan pengedar bahan binaan terbesar di negara ini, bersedia untuk meraih manfaat daripada aliran peningkatan industri ini,” katanya.

Kementerian Kewangan sebelum ini berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) industri pembinaan diunjur berkembang sebanyak 11.5 peratus kepada RM59 bilion pada 2022.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini