STOCK SAHAM.CO

Top Glove tangguh penyenaraian di Hong Kong

SYDNEY: Corp Bhd menangguhkan rancangan untuk menjana AS$347 juta menerusi penyenaraian di Hong Kong apabila pencerobohan Russia ke atas Ukraine menjejaskan sentimen pelabur dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran, kata sumber rapat dengan perkara itu.

Firma itu, yang mendapat manfaat daripada permintaan sarung tangan getah pakai buang semasa pandemik COVID-19, mempunyai penyenaraian utama di Kuala Lumpur dan penyenaraian sekunder di Singapura.

Ia merancang penyenaraian di Hong Kong untuk meluaskan asas pelaburnya.

Saham Top Glove di Bursa Malaysia menjunam 29.3 peratus tahun ini.

Ia akan mengeluarkan laporan perolehan suku kedua esok.

Sejumlah besar tawaran penjualan saham di Asia ditangguhkan apabila pasaran kekal tidak menentu oleh tindakan Russia itu.

Indeks meluas saham dunia MSCI susut 13 peratus setakat tahun ini, apabila ketidaktentuan geopolitik menyebabkan pelabur memilih mendapatkan aset lebih selamat.

Peruncit fesyen China, Shein menangguhkan rancangan penyenaraiannya di Amerika Syarikat (AS) berikutan pergolakan itu, lapor Reuters sebelum ini.

Rancangan Life Insurance Corp untuk menjana AS$8 bilion sebelum akhir bulan ini dan tawaran awam permulaan (IPO) ketiga terbesar dalam sejarah di India turut menjadi persoalan.

“Prospek sekatan yang semakin bertambah ke atas Russia, tindakan keras terhadap hartanah, teknologi dan sektor lain di China, berakhirnya kemuncak dasar monetari longgar di Barat semuanya menyebabkan aktiviti pasaran modal saham lengang sehinggalah pasaran ekuiti dan komoditi kembali reda,” kata Pengarah Aequitas Research yang menerbitkan Smartkarma, Sumeet Singh kepada Reuters.

Hong Kong merekodkan permulaan paling perlahan bagi IPO dan penyenaraian sekunder dalam tempoh enam tahun, dengan hanya AS$1.17 bilion dijana setakat 2022, demikian menurut data Refinitiv.

Ia berbanding AS$10.16 bilion dalam tempoh sama 2021 dan paling perlahan sejak 2016.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular