STOCK SAHAM.CO

TNB jalin perkongsian strategik dengan GDS

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin perkongsian strategik dengan melalui penyediaan bekalan elektrik voltan tinggi kepada kampus pertama pusat data GDS di negara ini.

Di bawah perjanjian kerjasama TNB-GDS melalui Perjanjian Bekalan Elektrik ESA), TNB menyasarkan untuk memenuhi keperluan tenaga bagi kampus pusat data GDS di Nusajaya Tech Park di Johor Bahru.

Jalinan kerjasama itu adalah tanda sokongan TNB kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pusat data serantau.

TNB kini sedang mengambil langkah-langkah untuk membolehkan pusat data itu mula beroperasi pada Julai 2023 melalui bekalan sementara sebanyak 16MW.

Persediaan turut dijalankan untuk memastikan peningkatan permintaan maksimum sebanyak 85.5MW dapat disalurkan dalam tempoh 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din, berkata melalui penyediaan bekalan tenaga, TNB melengkapkan dasar mesra pelaburan asing kerajaan untuk memupuk pasaran pusat data yang sihat dan membantu industri mencapai objektif perniagaannya.

Beliau berkata, TNB komited sepenuhnya dalam menyediakan bekalan elektrik tepat pada masanya dan berdaya harap mengikut tempoh masa yang dipersetujui.

“Kami yakin kerjasama kami dengan GDS mempunyai potensi besar untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta rakyat Malaysia.

“Bagi menyokong aspirasi GDS untuk menjadi syarikat pusat data pertama yang mencapai neutral karbon, dengan penggunaan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB) menjelang 2030, TNB akan memperluaskan kerjasamanya dalam penyediaan solusi tenaga pintar,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada ESA yang diadakan di TNB Platinum, di sini baru-baru ini.

Bahrin berkata TNB dan GDS berkongsi matlamat dan cita-cita bersama ke arah masa depan yang lebih hijau.

“Kerjasama ini adalah satu daripada banyak inisiatif yang mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara yang mana mana ia terus didorong oleh peningkatan penggunaan perkhidmatan berasaskan awan, IoT, analisis data besar dan kepesatan pendigitalan di rantau ini,” katanya.

Perjanjian jalinan kerjasama itu ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A Rahman dan Ketua Pegawai Operasi GDS, Jamie Khoo disaksikan Baharin serta Pengasas, Pengerusi & Ketua Pegawai Eksekutif GDS, William Wei Huang.

Sementara itu, William berkata dengan komitmen TNB yang tidak berbelah bahagi dalam menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap ke kampus pusat data di Johor, GDS berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan perkhidmatan pusat data bertaraf dunia di rantau ini, mengukuhkan lagi infrastruktur digital Malaysia dan mempercepatkan transformasi dan pertumbuhan digitalnya.

“Kami berharap kerjasama dengan TNB dalam penggunaan TBB sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan mampan kami, seperti penyelesaian hijau pintar, termasuk solar atas bumbung dengan GSPARX, solusi sambungan dengan Allo, dan teknologi hijau baharu dengan TNB Renewables.

“Melalui kerjasama strategik ini, kami percaya dapat memberikan sumbangan penting untuk menyokong cita-cita Malaysia menjadi hab pusat data dan memacu ekonomi digital serantau. Kami berterima kasih atas sokongan dan usaha TNB untuk memupuk perkongsian yang bermanfaat di masa hadapan,” katanya.

Dalam memacu peralihan tenaga negara, TNB memberi tumpuan kepada menyediakan penyelesaian tenaga mampan bagi memupuk pasaran yang kondusif untuk pelabur tempatan dan asing.

Inisiatif ini berpaksikan kepada aspirasi TNB untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular