TM perkenal syarikat perkhidmatan awan, Credence

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melancarkan Credence, syarikat perkhidmatan awan dan digital dengan penumpuan kepada pengembangan keupayaan sektor perusahaan dan sektor awam dalam perjalanan transformasi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar, berkata dengan kebanyakan syarikat kini menilai semula keupayaan dan tawaran untuk memenuhi permintaan digital, TM bersedia untuk menjadi peneraju penyedia penyelesaian digital, melalui ketersambungan dan infrastruktur yang mantap.

“TM akan memperkasa organisasi sektor swasta dan awam untuk berubah menjadi lebih cekap serta fleksibel, sambil menawarkan pulangan pelaburan yang terbaik.

“Bagi kami, sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk memanfaatkan kebolehan, memenuhi keperluan pasaran dan melancarkan sebuah syarikat khusus, Credence, yang memberi tumpuan kepada teknologi dan inovasi digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Imri berkata, TM akan menawarkan kelebihan yang berbeza dalam cara membawa penyelesaian dan perkhidmatan digital yang menyeluruh kepada pelanggan melalui Credence.

Beliau menambah, dengan memanfaatkan teknologi serta kepakaran tempatan dan antarabangsa, Credence akan menawarkan khidmat yang luas dan lebih pantas dengan memahami keperluan dan cabaran pelanggan tempatan.

“Pada masa hadapan, menerusi penerokaan ke pasaran perkhidmatan digital, kami menyasarkan untuk meningkatkan trajektori pertumbuhan TM dan mencipta nilai yang lebih kepada pelanggan dan pihak berkepentingan,” katanya.

Credence diterajui oleh Krish Datta, seorang peneraju teknologi berpengalaman yang menyertai TM pada akhir 2021 untuk membentuk cabang perkhidmatan digital terbaharu kumpulan.

Dengan memanfaatkan sumber, infrastruktur dan hubungan kukuh TM dengan sektor perusahaan dan sektor awam, Krish dan pasukan pakar berupaya membantu untuk mempercepatkan perjalanan transformasi digital Malaysia.

Krish berkata, Credence akan menyediakan keupayaan daripada infrastruktur teknologi sehinggalah ke maklumat perniagaan, khidmat nasihat awan, migrasi lanskap IT, SaaS, perkhidmatan terurus serta analitik dan maklumat.

“Credence menyasarkan untuk memberikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan. Kami adalah satu-satunya syarikat yang mampu menawarkan penyelesaian menyeluruh dari titik mula hinggalah ke titik akhir, merangkumi infrastruktur dan juga khidmat nasihat.

“Pendekatan kami adalah untuk bertemu pelanggan di mana mereka berada, mengetahui matlamat kritikal misi mereka, dan bekerjasama dengan mereka mengikut keperluan dan keutamaan mereka.

“Kami juga adalah ‘agnostik platform dan teknologi’, meletakkan Credence di kedudukan yang lebih baik untuk menawarkan penyelesaian dengan penumpuan kepada pelanggan yang lebih kukuh berbanding vendor lain yang lebih cenderung kepada sistem mereka sendiri,” katanya.

Ketika dilancarkan, Credence mengumumkan kerjasama penting bersama VMware, AWS dan Huawei, yang membolehkan mereka menawarkan pelbagai pilihan kepada sektor perusahaan, disesuaikan dengan keperluan pertumbuhan.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini