Lembaga Tabung Haji (TH) telah memuktamadkan pembelian bangunan pejabat enam tingkat di London pada 12 Julai lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata pembelian itu dijangka memberi pulangan yang stabil membabitkan purata pulangan atas tunai dianggarkan sebanyak lima peratus setiap tahun.
Menurut The Edge, Lembaga Tabung Haji telah membeli hartanah di London bernilai £247.5 juta bersamaan RM1.32 bilion, merupakan aliran modal keluar yang besar pada ketika negara dilanda kegawatan ekonomi.
Tindakan melonggokkan pelaburan sebesar itu kepada hanya satu hartanah turut mengundang risiko kepada keutuhan aset sekali gus merisikokan 8 juta pendeposit TH.
Wujud kebimbangan kerana sebelum 2018, kelemahan TH dalam pengurusan risiko aset serta tatakelola kewangan yang tidak telus telah membawa kepada jurang negatif antara aset dan liabilti sebanyak RM4.1bilion yang dicatitkan dalam laporan audit 2017.
Pihak berwajib perlu telus dalam menyatakan kos sebenar keseluruhan pembelian termasuk yuran brokerage atau komisyen yang dibayar kepada broker yang dilantik.
Perbuatan menyembunyikan harga belian sebenar juga menimbulkan berbagai tanggapan negatif rakyat khususnya umat Islam terhadap ketelusan pihak TH dan kepentingan pihak tertentu yang mengaut yuran komisyen yang tidak masuk akal tinggi.
Adalah bukan suatu jaminan pulangan sebanyak lima peratus setiap tahun yang hanya sekadar anggaran pihak pengurusan TH melalui pembelian ini berdasarkan kegawatan ekonomi dunia.
Melabur di dalam negara atau menumpukan kepada perubahan struktural regim kos subsidi haji bagi menangani kenaikan kos haji adalah lebih baik daripada pembelian aset yang berisiko tinggi di luar negara.
Dalam keadaan kejatuhan nilai ringgit akhir-akhir ini pembelian tersebut juga dengan jelas boleh membawa risiko kepada pulangan nilai jika berlaku transaksi untuk dijual kemudian hari.
Pembelian aset di luar negara oleh TH ini menjadi persoalan, adakah ia suatu keperluan ketika ekonomi dunia dalam kegawatan?