KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan kepada Suruhanjaya Eropah (EC) untuk meminda konsep ‘greenwashing', di mana perniagaan memberikan tanggapan palsu tentang impak atau manfaat alam sekitar sesuatu produk.
Dalam maklum balas Kesatuan Eropah (EU) bagi dasar Pengguna – mengukuhkan peranan pengguna dalam peralihan hijau (draf arahan), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata konsep ‘greenwashing' mengelirukan pengguna dan menyebabkan tahap keyakinan yang rendah terhadap bukti kelayakan alam sekitar sesebuah perniagaan, yang seterusnya membawa kepada ‘ekonomi kurang hijau'.
MPOC berkata contoh paling menonjol dakwaan greenwashing adalah pelabelan “bebas minyak sawit” dalam produk makanan.
Produk bebas minyak sawit selalunya boleh dikenal pasti menerusi logo hijau, bulat, yang biasanya menyatakan ”bebas minyak sawit” dalam pelbagai bahasa negara anggota EU, bergantung kepada pasaran di mana produk itu dijual.
“Di Perancis, misalnya, bilangan pengendali menggunakan dakwaan bebas minyak sawit meningkat dengan ketara dalam tempoh beberapa tahun daripada 312 pada 2013 kepada 666 pada 2014 dan 692 pada akhir 2015.
“Pada masa yang sama, bilangan jenama yang turut menggunakan pelabelan itu juga meningkat daripada 39 pada 2013 kepada 60 pada 2014 dan 66 pada 2015,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Wan Aishah Wan Hamid.
Justeru, beliau berkata, MPOC bersedia untuk bekerjasama rapat dan menjalin perkongsian dengan Suruhanjaya Eropah untuk menyediakan data yang boleh dinilai yang dibangunkan selama ini dalam konteks ini.
Pada 3 April, 2022, Suruhanjaya Eropah menerbitkan cadangannya bagi Arahan Parlimen Eropah dan Majlis meminda Arahan 2005/29/EC dan 2011/83/EU untuk memperkasakan pengguna bagi peralihan hijau menerusi perlindungan yang lebih baik terhadap amalan tidak adil dan maklumat yang sewajarnya.
Cadangan arahan itu bertujuan untuk menyumbang kepada “ekonomi EU yang sirkular, bersih dan hijau” dan membantu pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan maklumat, yang seterusnya membawa kepada penggunaan lebih mapan.
Wan Aishah berkata MPOC menganggap dakwaan bebas minyak sawit itu mengelirukan pengguna dan kempen negatif oleh pengeluar dan peruncit adalah bertujuan untuk mendorong pengguna mengurangkan penggunaan minyak sawit, menggunakan implikasi pemakanannya dan kononnya impak alam sekitar yang negatif di kebanyakan negara anggota EU selama bertahun-tahun.
Dakwaan dan pelabelan bebas minyak sawit dan kempen pemasaran mengelirukan yang berkaitan, telah memberi imej negatif kepada minyak sawit dalam kalangan pengguna di EU dan rantau-rantau lain.
Menurut MPOC, trend itu bermula di Belgium dan Perancis tetapi merebak ke negara anggota EU lain serta negara-negara Eropah lain.
MPOC, katanya, menyifatkan dakwaan bebas minyak sawit itu secara tersiratnya menyatakan minyak sawit tidak mampan, menyumbang kepada penebangan hutan dan menyebabkan kehilangan biodiversiti.
“Dalam istilah umum seperti itu, ia bukanlah sebegitu. Lebih khususnya dalam konteks dakwaan minyak sawit yang kontroversi, pengeluar sering menyatakan – tanpa sebarang bukti kukuh – bahawa, sebagai contoh, minyak bunga matahari atau minyak soya perlu digunakan, dan bukannya minyak sawit kerana minyak-minyak tersebut kononnya kurang memberi impak kepada alam sekitar.
“Ketika ini, tiada undang-undang khusus EU yang menyokong ‘dakwaan hijau' yang dibuat ke atas makanan. Oleh itu, dakwaan sedemikian yang berkaitan dengan impak alam sekitar minyak sayuran tertentu nampaknya tidak berasaskan kepada bukti saintifik,” kata Wan Aishah.
Beliau berkata ia biasanya menipu, sengaja direka dalam istilah yang mengelirukan, dan selalunya, tanggapan tidak berasas yang memburuk-burukkan produk tertentu bagi mempromosikan produk lain.
Dalam konteks ini, MPOC amat menyokong inisiatif perundangan EU bagi memastikan dakwaan tersirat seperti bebas minyak sawit bermakna produk berkenaan adalah lebih hijau, lebih mampan, tidak menyumbang kepada penebangan hutan dan tidak menyebabkan kehilangan biodiversiti berbanding produk setanding yang mengandungi minyak sawit, dikawal selia dengan syarat ketat.
Bagaimanapun, Wan Aishah berkata MPOC menyokong beberapa perubahan dalam undang-undang Suruhanjaya Eropah dan menghargai bahawa suruhanjaya itu menyedari banyak dakwaan alam sekitar yang dilemparkan memberikan maklumat tidak jelas, mengelirukan atau maklumat tidak berasas mengenai ciri ekologi produk.
Kajian Suruhanjaya Eropah ke atas dakwaan Alam Sekitar di EU – penilaian inventori dan kebolehpercayaan, antaranya, menilai penggunaan dakwaan mampan, merujuk, sebagai contoh, kepada dakwaan “shea adalah alternatif mampan kepada minyak sawit” bagi produk majerin.
MPOC berharap dapat mengadakan dialog yang berterusan, telus, jujur dan berasaskan saintifik dengan EU semasa perkembangan inisiatif perundangan ini.