KUALA LUMPUR: Sunway Construction Group Bhd (SCGB), syarikat pembinaan tempatan berpotensi untuk meraih kontrak kerja landasan tinggi bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata potensi itu adalah berdasarkan kepada pengalaman dan kepakaran sedia ada SCGB sebelum ini dalam projek pembinaan landasan tinggi, memandangkan ia berjaya memperoleh kerja bernilai RM1.4 bilion untuk pembinaan landasan tinggi pada 2016 dan 2017.
“Walaupun SCGB belum menerima sebarang tawaran kerja baharu tahun ini, penambahan kerja mungkin datang daripada tawaran projek MRT3 yang dijangka diumumkan pada suku keempat 2022.
“Wujud peluang yang lebih daripada cukup untuk kumpulan itu mendapat kerja landasan tinggi dan kami percaya SCGB calon yang paling layak untuk memenangi kerja landasan tinggi MRT3,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Di bawah MRT3, Kementerian Pengangkutan memberi panduan bahawa kerja landasan tinggi bakal merangkumi 80 peratus daripada jajaran MRT3.
Jumlah nilai kerja bagi kerja landasan tinggi dianggarkan berada dalam lingkungan kira-kira RM15 bilion hingga RM20 bilion dengan menggunakan kos sama bagi setiap kilometer sebagaimana dalam projek MRT2.
Kontrak dalam tangan SCGB berada pada RM4.8 bilion setakat 31 Disember 2021, bersamaan tiga kali ganda hasil pembinaan tahun kewangan 2021.
Mengulas lanjut, Adam berkata, keadaan operasi dijangka kembali normal berikutan pembukaan semula ekonomi sejak suku keempat 2021, di samping ketiadaan sebarang sekatan pergerakan yang dilaksanakan pada suku pertama 2021.
Justeru, beliau berkata, keuntungan bersih SCGB pada suku pertama ini dijangka sekitar 15 hingga 25 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu pada RM23 juta hingga RM25 juta.
“Mengenai anggaran perolehan dan penilaian pula, kami tidak melakukan sebarang perubahan pada ramalan perolehan kami buat masa sekarang.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa risiko utama yang berpotensi dihadapi SCGB seperti tawaran kontrak tertangguh, nilai tawaran kontrak lebih
rendah daripada jangkaan dan tempoh kos bahan tinggi berpanjangan,” katanya.