KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd mencatatkan hasil sebanyak RM205.5 juta dalam suku ketiga berakhir 31 Mac 2022, kenaikan enam peratus berbanding suku kedua tahun kewangan 2022 selepas disumbangkan oleh aktiviti dalam segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) khususnya di Asia Barat.
Bagaimanapun, pendapatan bersihnya terjejas oleh kos operasi yang lebih tinggi, mengakibatkan kerugian sebanyak RM77.2 juta, naik berbanding suku kedua tahun kewangan 2022 dengan pengurangan sebanyak RM88.6 juta, katanya dalam satu kenyataan.
Segmen O&M kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatannya pada suku ketiga tahun kewangan 2022 dan suku kedua tahun kewangan 2022 walaupun hasil berkurangan berbanding suku sebelumnya.
“Penurunan ini disebabkan oleh aktiviti yang agak lembap di Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia, yang mengakibatkan kerugian kasar bagi suku ketiga tahun kewangan 2022 berbanding keuntungan kasar 53.4 peratus pada suku sebelumnya.
“Ini disebabkan oleh segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) termasuk pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan (IRM) yang mencatatkan penurunan aktiviti di Qatar, UAE serta Malaysia sehingga menyebabkan kerugian kasar bagi suku kedua tahun kewangan 2022,” katanya.
Serba Dinamik berkata, segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menyumbang RM7 juta atau 3.4 peratus daripada jumlah hasil, yang majoritinya diperoleh daripada kontrak di UAE, Tanzania dan Malaysia.
Sementara itu, segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pendidikan dan latihan, masing-masing merekodkan perolehan berjumlah RM2.7 juta serta RM2.1 juta.
Secara geografi, rantau Asia Barat adalah pemacu tertinggi kepada hasil, dengan RM131.6 juta atau 64 peratus daripada angka hasil bagi suku ketiga tahun ini yang disumbangkan daripada Qatar dan UAE masing-masing bernilai RM100.1 juta serta RM30.6.
“Rantau Asia Tenggara menyumbang RM47.6 juta atau 23.2 peratus sebagai penyumbang kedua, yang sebahagian besarnya didorong dari Malaysia dan Indonesia, masing-masing sebanyak RM44.5 juta serta RM3.1 juta,” katanya.
Rantau Asia Tengah dan Selatan menyediakan pendapatan berjumlah RM21.5 juta atau 10.5 peratus, yang kebanyakannya diperoleh dari Turkmenistan.
Sementara itu, United Kingdom menyediakan hasil RM4.8 juta bagi suku semasa.
Syarikat itu ketika mengulas mengenai kemajuannya berkata, lembaga itu sedang berusaha untuk memfailkan permohonan dalam mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mengadakan mesyuarat pemiutang selepas menarik balik permohonan bagi pengurusan kehakiman.