SC buat laporan polis terhadap Serba Dinamik

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuat laporan polis susulan dakwaan Serba Dinamik Holdings Bhd yang menuduh pengawal selia pasaran modal Malaysia itu berniat jahat dan tidak mengikut prosedur dalam melaksanakan tugasnya.

SC dalam satu kenyataan berkata, ia menyangkal sekeras-kerasnya semua dakwaan Serba Dinamik dalam kenyataan 26 muka surat pada 21 April lalu yang disifatkan sebagai tidak berasas yang boleh dan bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan/atau menimbulkan imej yang negatif terhadap SC dan pegawainya.

“Sebagai badan berkanun yang diberi mandat oleh Parlimen untuk mengawal selia pasaran modal Malaysia, SC diberi tanggungjawab untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan terhadap pasaran modal.

“Tindakan penguatkuasaan SC terhadap Serba Dinamik diambil demi kepentingan awam, bagi meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan penyata kewangan syarikat tersenarai.

“SC mengecam sebarang percubaan untuk menggertak SC atau pegawainya dan memperlekehkan kuasa serta kredibilitinya,” katanya.

Serba Dinamik dan empat ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanannya sebelum ini dihadapkan ke mahkamah pada Disember 2021 untuk pelanggaran undang-undang sekuriti kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd berhubung angka hasil syarikat itu sebanyak RM6.01 bilion yang terkandung di dalam keputusannya yang disatukan bagi suku tahun dan tahun berakhir 31 Disember 2020.

Berikutan representasi Serba Dinamik kepada Jabatan Peguam Negara, Peguam Negara pada 7 April 2022 bersetuju agar kesemua pertuduhan berkenaan dikenakan kompaun.

SC berkata, ia mengambil maklum bahawa kebanyakan dakwaan Serba Dinamik terhadapnya adalah membabitkan isu dan hujahan yang dikemukakan dalam pelbagai prosiding yang difailkan olehnya di Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Oleh yang demikian, katanya, SC ingin menyatakan bahawa semua siasatannya berhubung perkara itu dijalankan selaras dengan kuasa statutorinya serta proses dan prosedur yang dimantapkan, sekali gus menolak sekeras-kerasnya dakwaan Serba Dinamik yang tidak berasas.

“SC menafikan bahawa ia gagal menyerahkan dokumen berkaitan kes ini, dan menyatakan bahawa dokumen yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan semasa perbicaraan telah diberikan kepada Serba Dinamik menurut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

“Hakikatnya, SC menyerahkan kebanyakan dokumen yang berkaitan kepada pihak Pembelaan secara berkelompok pada tiga tarikh berasingan iaitu pada 27 Januari 2022, 25 Februari 2022 dan 8 April 2022, yang mana penerimaannya diperakui secara bertulis oleh peguam pihak tertuduh.

“SC memperjelaskan bahawa pelaksanaan kuasa siasatannya, termasuk serbuan yang dijalankan di pejabat Serba Dinamik pada 18 Mei 2021, adalah wajar dan dilaksanakan dengan niat baik dalam menjalankan kuasa pengawalseliaannya.

“Menurut Seksyen 128 dan 133 Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), SC diberi kuasa untuk memasuki mana-mana premis tanpa waran geledah sekiranya ia mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa kelewatan untuk mendapatkan waran geledah boleh menyebabkan sebarang dokumen atau bukti diganggu atau dimusnahkan atau tujuan kemasukan ke premis terbabit mungkin gagal.

“SC juga ingin menyatakan bahawa Pegawai Penyiasat, Pegawai Pendakwa dan Timbalan Pendakwa Raya SC tidak pernah mengancam mana-mana kakitangan Serba Dinamik, dan kenyataan yang direkodkan daripada saksi ini telah dijalankan mengikut proses yang sewajarnya dan kenyataan berkenaan telah diberikan kepada SC secara sukarela tanpa sebarang paksaan, ugutan atau janji,” katanya.

Selain itu, SC turut memfailkan laporan terbabit bagi membolehkan polis dan pihak berkuasa lain yang berkaitan menyiasat perkara ini, termasuk bagi kesalahan fitnah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan/atau undang-undang lain yang berkaitan.

“Ia juga meminta kerjasama polis untuk menjalankan siasatannya dengan segera demi membantu melindungi kepentingan pelabur,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini