Resintech cadang terbit saham bonus, waran

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Resintech Bhd (Resintech), mencadangkan menerbitkan bonus sehingga 50,308,463 saham biasa baru berdasarkan kepada 1 saham bonus bagi setiap 3 saham Resintech sedia ada.

Syarikat penyedia berintegrasi penuh bagi produk polietilena dan polivinil klorida tanpa plastik (uPVC) dengan mencadangkan pengeluaran bonus sebanyak 100,616,926 waran percuma berdasarkan kepada 1 waran bagi setiap 2 saham Resintech sedia ada.

Pengarah Urusan Resintech, Datuk Dr Teh Kim Poo berkata, cadangan pengeluaran bonus saham dan waran itu adalah sebagai ganjaran kepada pemegang saham kerana peningkatan jumlah saham tidak membawa apa-apa kos kepada pemegang saham sedia ada, manakala waran berkenaan akan membolehkan mereka mengambil bahagian daripada derivatif saham Syarikat secara tanpa kos dan pada masa yang sama memberikan mereka peluang untuk meningkatkan penyertaan ekuiti melalui waran mereka.

“Pengeluaran bonus juga akan menambah baik kecairan perdagangan saham Resintech melalui peningkatan jumlah saham yang dikeluarkan manakala waran akan mengukuhkan asas modal Syarikat dan dana pemegang saham apabila dan ketika ia digunakan.” katanya.

Teh berkata, tarikh kelayakan bagi pengeluaran bonus saham biasa baru akan ditentukan dan diumumkan kemudian oleh Lembaga Pengarah Resintech manakala tarikh kelayakan bagi pengeluaran bonus waran percuma akan ditentukan dan diumumkan kemudian oleh Lembaga Pengarah berdasarkan kepada nama-nama pemegang saham yang tercatat dalam rekod pemegang sekuriti syarikat.

Saham bonus itu akan menentukan kelayakan kepada waran bonus memandangkan waran yang dicadangkan itu akan dilaksanakan apabila selesai pengeluaran saham bonus yang dicadangkan.

Resintech baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman untuk memiliki 30 peratus pegangan dalam Bionutricia Holding Sdn Bhd daripada pemegang saham berkepentingan yang bernilai RM8.7 juta.

Bionutricia adalah firma bioteknologi yang mengkhusus kepada pengeluaran dan pengkomersialan ekstrak berasaskan tumbuhan dan buah-buahan dan fraksi aktif daripada herba tempatan melalui proses bioteknologi nano termaju.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini