KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah RM1.4 bilion tahun ini, lebih tinggi berbanding RM1.2 bilion bersandarkan jangkaan lonjakan operasi perniagaan selepas negara dalam peralihan ke fasa endemik.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Othman, berkata perbelanjaan lebih tinggi sedikit pada tahun ini adalah bersandarkan jangkaan pembiayaan lebih banyak aktiviti penyelenggaraan dan projek pertumbuhan yang diumumkan tahun lalu.
“Prospek perniagaan perkhidmatan gas PGB kekal mampan. Kami melihat permintaan ke atas gas terus meningkat sejak akhir tahun lalu dan disebabkan harga arang batu yang melonjak ketika ini, peserta industri terutama dalam sektor tenaga dilihat beralih kepada gas,” katanya pada sidang media maya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-39.
Yang turut serta, Pengerusi PGB, Adnan Zainal Abidin; dan Ketua Pegawai Kewangan PGB, Shariza Sharis Mohd Yusof.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, PGB merekodkan keputusan cemerlang selepas keuntungan selepas cukainya melepasi RM2 bilion buat tahun kedua berturut-turut kepada RM2.11 bilion, satu peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Berikutan keputusan kewangan positif, kumpulan mengisytiharkan dividen berjumlah 82 sen sesaham bagi tahun dikaji termasuk dividen khas sebanyak 10 sen sesaham, yang diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen sebanyak 81.6 peratus.
Abdul Aziz berkata, prestasi kewangan PGB yang teguh disokong kontrak jangka panjang yang dijamin meskipun perniagaan mencabar sepanjang tahun lalu.
“Melalui usaha inovatif, kami mengekalkan kecemerlangan operasi dengan cara paling selamat, meraih prestasi operasi bertaraf dunia dan kekal menguntungkan.
“Tahun kewangan 2021 menyaksikan PGB memenuhi komitmen untuk mengedarkan gas ke seluruh Malaysia melalui operasi yang selamat dan berkesan, memanfaatkan teknologi digital untuk memastikan perniagaan tanpa gangguan dan komunikasi berterusan antara kakitangan dan pelbagai pihak berkepentingan.
“Selain itu, langkah menangani wabak yang ditubuhkan pada 2020 terus dipertingkatkan untuk memastikan gangguan bekalan sifar dan perniagaan terus maju,” katanya.
Abdul Aziz berkata, prestasi kukuh PGB dicapai melalui fokus kumpulan untuk memastikan perniagaannya menyesuaikan diri dengan pelbagai pihak berkepentingannya dan portfolio pelanggan yang semakin meningkat.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, PGB akan terus merebut peluang untuk menyampaikan penyelesaian gas dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan, sambil memajukan dan merealisasikan projek pertumbuhan yang telah dikenal pasti.
“Ini termasuk mencapai penyelesaian bersepadu untuk kuasa dan utiliti di zon perindustrian baharu di Malaysia, meningkatkan kapasiti penjanaan kuasa dan pengegasan semula di Malaysia dan serantau, serta meneroka peluang yang dibawa oleh peralihan tenaga,” katanya.