MTA, Infomina bekerjasama digitalkan perniagaan takaful

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menjalin kerjasama dengan Infomina Bhd untuk menjalankan penilaian ke atas daya maju aplikasi produktiviti dipanggil Videspace, yang berfungsi sebagai alat komunikasi dan kerjasama pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed, berkata persatuan itu telah membina pelan hala tuju untuk melaksanakan pelan tindakan sektor kewangan bagi industri takaful serta pengantaraan berasaskan nilai untuk takaful (VBIT).

Katanya, pelancaran program di bawah inisiatif itu memerlukan komunikasi yang berkesan.

“Secara keseluruhan kami mempunyai 60 inisiatif di bawah dua pelan hala tuju sehingga 2025. Oleh itu kerjasama dan komunikasi yang berkesan adalah satu kemestian untuk membantu kami menyelaras di peringkat persatuan.

“Menerusi kerjasama ini, ia menyediakan ruang kepada MTA untuk meneroka penggunaan teknologi baharu untuk meningkatkan komunikasi persatuan kepada dan di antara 18 syarikat ahlinya, dan kemudian dengan pihak berkepentingan industri lain, termasuk ejen, pengguna dan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara MTA dengan Infomina di sini.

Mohd Radzuan berkata, bagi menggalakkan inovasi digital dalam penggunaan teknologi kewangan (fintech) dalam kalangan peserta takaful di Malaysia, MTA juga sedang mengkaji untuk bekerjasama dengan beberapa penyedia teknologi maklumat (IT).

“Salah satu teras di bawah Pelan Tindakan Sektor Kewangan ialah pendigitalan, di mana MTA melihat lapan inisiatif dengan empat inisiatif sedang dijalankan,” katanya.

Mengenai inisiatif platform tunggal, beliau berkata MTA sedang bekerjasama dengan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) untuk membolehkan waris menyemak polisi insurans si mati.

Katanya, platform itu pada masa ini masih dalam peringkat awal perbincangan dan dijangka tersedia pada tahun hadapan.

“MTA juga berharap untuk mewujudkan ‘platform pasaran’ seperti yang diamanatkan oleh ahlinya. Dengan menggunakan teknologi dan kerjasama dengan penyedia IT, kami berharap ini adalah permulaan kepada perjalanan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng, berkata selain kerjasama dalam aplikasi Videspace dengan MTA, syarikat itu juga memberi jaminan komitmen untuk menyediakan penyelesaian yang memenuhi keperluan teknologi dan digital MTA.

“Kami gembira dipilih sebagai salah satu rakan kongsi teknologi VBIT dan MoU ini akan membolehkan kami meneroka bekerjasama dengan MTA untuk meningkatkan keberkesanan serta kecekapan melalui penggunaan platform digital,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini