STOCK SAHAM.CO

MR D.I.Y. lancar edisi keenam ‘DIY Made Simple’

KUALA LUMPUR: Peruncit perkakas rumah, Group (M) Bhd (MR D.I.Y.) dengan kerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) akan melancarkan edisi keenam pertandingan tahunan, ‘DIY Made Simple'.

Pertandingan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan untuk menggalakkan pelajar memahami dan menghargai impak positif budaya ‘buat sendiri' (DIY) kepada negara dan komunitinya.

MR D.I.Y. dalam satu kenyataan berkata, pertandingan itu menyediakan platform kepada pelajar untuk menonjolkan kreativiti mereka dengan meneroka pelbagai tema DIY yang berbeza.

Tema tahun ini, ‘Menghadapi Norma Baharu: Transformasi Sekolah' menggesa pelajar untuk mencari jalan mempertingkatkan kemudahan di sekolah, sambil menyesuaikan diri dengan norma baharu dengan memulakan projek DIY menggunakan bahan yang dikitar semula.

Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y., Datuk Azlam Shah Alias, berkata, ‘DIY Made Simple' bukan sekadar satu pertandingan, malah menggalakkan perkongsian idea mengenai cara untuk mempraktikkan lebih banyak

amalan mesra alam, budaya menaik taraf dan mengguna semula serta seterusnya melahirkan komuniti yang mampan, diperkasa dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan.

Beliau berkata, ia adalah salah satu daripada cara MR D.I.Y. menambah nilai kepada komuniti di mana ia beroperasi dan sejajar dengan matlamat kemampanan syarikat.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UMCares kerana sekali lagi bekerjasama dengan kami dalam usaha ini, dan kepada Kementerian Pendidikan kerana menyokong program ini.

“Sokongan mereka membolehkan kami meningkatkan kemahiran 865 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara sejak pertandingan ini dilancarkan pada tahun 2017. Aa semakin besar dan menarik dari tahun ke tahun.

“Memandangkan Malaysia kini memasuki fasa endemik dan sekolah telah dibuka semula, kami teruja untuk menyaksikan idea kreatif dan unik untuk mengubah sisa buangan menjadi sesuatu yang berguna dan mampan untuk dimanfaatkan oleh sekolah,” katanya.

Penyertaan untuk edisi pertandingan ‘DIY Made Simple' 2022 kini sedang dibuka dan pelajar yang berminat boleh menghantar penyertaan video mereka sehingga 20 Mei 2022.

Satu panel pengadil yang terdiri daripada wakil-wakil dari Universiti Malaya (UM), MR D.I.Y. dan KPM akan menilai kesemua penyertaan dan menyenarai pendek 98 pasukan (tujuh sekolah dari setiap negeri) untuk pembentangan cadangan dan prototaip dari 31 Mei hingga 21 Julai 2022.

Sebanyak 18 finalis akan dipilih untuk bekerjasama dengan pensyarah dari Fakulti Bina Alam UM untuk mentransformasi idea sekolah mereka menjadi realiti semasa pusingan Akhir.

Fasa terakhir itu akan dijalankan dari 22 Julai hingga 25 September 2022 dan pemenang akan diumumkan pada Oktober.

Pada Disember 2021, MR D.I.Y. disenaraikan dalam FTSE4Good Index 2021, sekali gus membuktikan usaha peruncit perkakas rumah itu untuk terus menghasilkan impak yang positif kepada komuniti ia beroperasi.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular