Maybank yakin capai matlamat Pelan M25

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Maybank berada di landasan yang baik untuk memenuhi matlamat di bawah Pelan M25 dan akan terus mempercepatkan usaha untuk memberi nilai lebih besar kepada semua pihak berkepentingan.

Ia akan dicapai dengan meningkatkan keupayaan digital, memperkenalkan pemacu nilai baharu untuk pertumbuhan perniagaan serta mendukung amalan mampan.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata walaupun menghadapi keadaan mencabar akibat pandemik dan situasi geopolitik yang tidak menentu, bank itu mencatatkan prestasi kewangan yang baik pada 2021.

Beliau berkata, bank juga membuat pembayaran dividen lebih tinggi pada 2021 berjumlah 58 sen sesaham, mencatatkan hasil dividen sebanyak tujuh peratus iaitu antara tertinggi dalam kalangan bank di rantau ini.

“M25 berteraskan misi untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dan mempunyai strategi yang jelas berfokuskan pada tiga keutamaan iaitu penerapan digital, pemacu nilai baharu dan kemampanan,” katanya pada sidang media secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 Maybank.

Zamzamzairani menjelaskan, dalam tempoh setahun, tiga keutamaan itu telah memenuhi tujuan masing-masing dan menjejaki pencapaian yang dirancang.

“Dengan pasaran utama kami yang semakin menuju ke peringkat endemik, jangkaan adalah bahawa akan ada pemulihan ekonomi lebih besar di seluruh rantau ini, dirangsang oleh pemberian vaksinasi lebih tinggi dan pelonggaran sekatan kawalan sempadan.

“Ini adalah petanda positif dan kami percaya ia meletakkan Maybank di posisi hadapan untuk memastikan kami mencapai matlamat M25,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Abdul Farid Alias, ​​berkata tumpuan kumpulan untuk membina tiga keutamaan strategik membolehkannya untuk terus berada di hadapan dan terus berkhidmat kepada masyarakat, terutama ketika permulaan pandemik.

Beliau berkata, kepakaran untuk beroperasi sebagai bank digital, di samping peranan kumpulan sebagai bank tradisional menunjukkan kekuatan dalam menyediakan penyelesaian termaju untuk pelanggan.

Sepanjang tahun lalu, katanya, Maybank berjaya mereka bentuk aplikasi gaya hidup sendiri, memperkenalkan penyelesaian pembiayaan digital di Malaysia merentasi segmen runcit dan bukan runcit untuk produk seperti gadai janji, pembiayaan peribadi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Farid berkata, walaupun Maybank akan terus membangunkan produk dan perkhidmatan digital untuk pelanggan, ia juga menggunakan keupayaannya untuk memacu amalan perbankan mampan bagi menyokong komuniti.

“Kami berjaya menggunakannya pada masa lalu dengan MaybankHeart, platform pengumpulan dana sosial digital pertama untuk organisasi bukan kerajaan (NGO) serta Sama-Sama Lokal, pasaran dalam talian berkomisen sifar demi membantu perusahaan mikro yang masih bergelut.

“Kini, platform ini mempunyai lebih 14,000 peniaga, yang menjana kira-kira RM24 juta dalam nilai pesanan, serta mendapat manfaat daripada pangkalan pelanggan 12 juta Maybank2u.

“Aspek ini akan diteruskan sebagai sebahagian misi menginsankan perkhidmatan kewangan kami,” katanya.

Pada AGM itu, Zamzamzairani turut merakamkan penghargaan kepada Farid yang tidak akan menyambung kontraknya selepas berkhidmat hampir sembilan tahun dalam jawatan itu.

Beliau berkata, sejak menerajui Maybank pada 2 Ogos 2013, Farid memainkan peranan penting dalam meletakkan asas strategik, memfokuskan usaha kumpulan dalam bidang pembangunan utama iaitu pendigitalan dan kemampanan untuk memastikan bahawa ia kekal mendahului kebanyakan bank serantau.

“Dengan kepakarannya, kumpulan berjaya mengharungi cabaran pandemik COVID-19, memastikan organisasi bertindak secara konsisten demi kebaikan semua pihak berkepentingan.

Zamzamzairani berkata, Farid terus mengukuhkan francais serantau kumpulan dan sumber pendapatan walaupun keseluruhan persekitaran pertumbuhan perlahan yang dialami di peringkat global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Di bawah kepimpinannya juga, Maybank, buat pertama kali melepasi permodalan pasaran lebih RM100 bilion pada 2017, menjadikannya satu-satunya syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mencapai pencapaian ini.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan semua warga Maybank, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Farid dan mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa hadapan,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini