KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan meneroka pelaburan ekuiti antarabangsa pada suku ketiga atau keempat tahun ini dalam usaha memaksimumkan pulangan kepada ahli.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman, berkata bermula tahun ini, pengurus dana persaraan angkatan tentera itu akan menembusi pelaburan ekuiti antarabangsa sebagai sebahagian strategi kepelbagaian aset pelaburannya.
Beliau berkata, LTAT bercadang membuat pendedahan dalam ekuiti awam antarabangsa sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan peruntukkan 50 peratus dalam pelaburan ekuiti yang ditetapkan di bawah sasaran peruntukan aset.
Katanya, LTAT akan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melaksanakan pelaburan antarabangsa itu.
“Bagi mencerminkan (LTAT) sebagai pengurus dana persaraan berbanding dana pelaburan, kami akan mempelbagaikan aset pelaburan merentasi pelbagai sektor, kelas aset dan geografi.
“Bermula tahun ini, kami akan melabur dalam pasaran ekuiti awam antarabangsa dengan pendedahan sebanyak 20 peratus daripada peruntukan keseluruhan 50 peratus dalam ekuiti awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘MIDF Conversations' yang diadakan secara maya, semalam.
Ahmad Nazim berkata, LTAT komited untuk mencapai sasaran mengisytiharkan dividen mampan sebanyak lima peratus sempena sambutan ulang tahun ke-50 tahun ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menetapkan sasaran Alokasi Aset Strategik (SAA) sebanyak 50 peratus untuk ekuiti awam; 20 peratus pendapatan tetap; 10 peratus hartanah; 10 peratus ekuiti swasta (PE), 5.0 peratus pasaran wang dan tunai dan 5.0 peratus strategik.
Sementara itu, Ahmad Nazim berkata, pelan transformasi lima tahun LTAT berjalan lancar dan kejayaan dilihat menerusi pengisytiharan kadar dividen sebanyak 4.1 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, lebih tinggi berbanding 3.5 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, pencapaian memberangsangkan itu adalah langkah pertama ke arah mengemudi pengurus dana persaraan itu bagi mencapai pulangan yang mampan dan kompetitif kepada Angkatan Tentera Malaysia.
Katanya, pengimbangan semula aset pelaburan LTAT yang berpandukan SAA dapat mengurangkan risiko ketidakupayaannya untuk mengisytiharkan dividen pada paras yang kompetitif.
Ditubuhkan pada Ogos 1972 di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101), LTAT adalah badan berkanun yang menyediakan kemudahan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia serta anggota kerahan sukarela menabung untuk persaraan mereka.
Di bawah skim LTAT, pencarum dikehendaki wajib mencarum 10 peratus daripada gaji bulanan dan kerajaan akan mencarum sebanyak 15 peratus sebagai majikan kepada LTAT.
Menerusi skim simpanan bagi pencarum sukarela, simpanan dibenarkan sekurang-kurangnya RM25 sebulan sehingga had maksimum RM2,000 sebulan.
LTAT menguruskan hampir RM9.7 bilion aset di bawah pengurusan setakat Disember 2021, dengan portfolio pelaburan merangkumi pelbagai industri seperti pembangunan hartanah, perladangan, farmaseutikal, perbankan dan urus niaga kewangan serta industri berat.