KUALA LUMPUR: L&P Global Bhd, iaitu penyedia penyelesaian pembungkusan industri bersepadu memeterai perjanjian pengunderaitan dengan Alliance Islamic Bank Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang dijadualkan pada Januari 2023 di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
L&P Global Bhd sebelum ini dikenali sebagai Berjayapak International Holdings Sdn Bhd.
“Dengan dana yang diperoleh daripada IPO, kami boleh meningkatkan operasi dan output pengeluaran kami bagi memenuhi permintaan produk pembungkusan industri yang semakin bertambah,” kata Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif L&P Ooi Lay Pheng dalam satu kenyataan.
L&P berkata, IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 113 juta saham baharu, mewakili 20.18 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 33.8 juta saham sedia ada, mewakili 6.04 peratus daripada saham yang diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Daripada 113 juta saham baharu, 24.0 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian; 13.0 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan (peruntukan borang merah jambu) dan enam juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Baki sebanyak 70 juta saham dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), yang juga dilakukan melalui penempatan persendirian.
Menurut perjanjian pengunderaitan itu, AIS akan menaja jamin sejumlah 37.0 juta saham baharu yang disediakan melalui peruntukan borang awam dan merah jambu, katanya dalam kenyataan yang sama.
Sebagai penyedia penyelesaian pembungkusan industri bersepadu, L&P dan anak syarikatnya terlibat dalam mereka bentuk dan mengeluarkan produk pembungkusan industri berasaskan kayu yang terdiri daripada kotak, tong dan palet.
Beroperasi di Malaysia dan Vietnam, penyelesaian pembungkusan industri kumpulan itu digunakan oleh syarikat multinasional (MNC) dalam industri tenaga boleh diperbaharui, elektronik dan semikonduktor, makanan, automotif dan pembungkusan.
“Memanfaatkan hubungan kerja kami yang telah lama terjalin dengan MNC dan produk berkualiti yang memenuhi piawaian antarabangsa untuk keperluan rantaian bekalan global, kami berada di kedudukan yang kukuh untuk mendapat faedah daripada pertumbuhan aktiviti pembuatan di Malaysia dan Vietnam.
“Kedua-dua negara telah mendapat manfaat daripada penempatan semula dan penubuhan kemudahan pembuatan MNC di luar China berikutan perang perdagangan di antara AS-China yang berterusan,” katanya.
“Produk pembungkusan industri berasaskan kayu akan terus menjadi pilihan utama kerana tahan lama dan kos pendahuluannya yang lebih rendah. Tambahan pula, ia mesra alam kerana boleh terbiodegradasikan dan boleh dikitar semula, dibaiki dan digunakan semula lebih daripada sekali, sekali gus memanjangkan jangka hayatnya,” tambah beliau.
L&P dijadual melancarkan prospektusnya pada Disember 2022 dan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang Januari 2023, dengan Alliance Islamic Bank sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan bersama dan penaja jamin tunggal.