KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd mengekalkan pandangannya bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras kadar faedah pinjaman tempatan, pada 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 11 Mei depan.
Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Pasaran Kumpulan Dr Sailesh K. Jha dalam nota penyelidikan berkata, bank pusat akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.0 peratus pada separuh kedua 2022.
“BNM juga akan memutuskan kenaikan OPR berdasarkan keluaran angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2022 pada 13 Mei dan data Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 25 Mei serta gaji sebenar berada pada aliran meningkat yang kukuh dan risiko daripada konflik di Ukraine tidak mempunyai kesan material terhadap ekonomi Malaysia.
“Selain itu, BNM ingin melihat bagaimana kelemahan dalam ringgit dan pasaran bon mata wang tempatan yang berlaku baru-baru ini adalah keadaan sementara atau ia dapat bertahan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada 5 Mei depan,” katanya.
Sailesh berkata, mengikut julat unjuran yang dijalankan BNM semasa membuat keputusan dasar, RHB percaya bank pusat itu tidak akan mempunyai bukti yang mencukupi untuk menaikkan OPR pada 11 Mei.
“Bagaimanapun, panduan mengenai dasar monetari boleh diberikan pada mesyuarat ini,” kata Sailesh.
Daripada segi data, bukti setiap data bulanan rasmi menunjukkan bahawa momentum pengeluaran perindustrian stabil dan jualan runcit meningkat sedikit pada bulan Februari.
Sementara itu, momentum inflasi teras IHP pada bulan Mac meningkat manakala momentum IHP keseluruhan menurun dan momentum eksport sebenar dan import KDNK pada asas suku ke suku berkemungkinan besar berkurangan pada suku pertama 2022 selepas prestasi kukuh dicatatkan pada suku keempat 2021.
Oleh itu, bagi BNM, unjuran pertumbuhan dan inflasi masih memerlukan kesabaran daripada tergesa-gesa untuk melaraskan OPR dan mengikuti harga pasaran ketika ini untuk kenaikan agresif pada 2022, katanya.
Dalam pada itu, RHB turut mengekalkan jangkaan inflasi IHP 2022 pada 2.6 peratus tahun ke tahun berbanding anggaran konsensus oleh Bloomberg sebanyak 2.4 peratus dan peningkatan 2.5 peratus pada 2021.
“Keluaran data inflasi IHP teras pada bulan Mac adalah sejajar dengan jangkaan kami di mana kami menjangkakan meningkat 2.0 peratus tahun ke tahun menjelang April dan peningkatan 1.98 peratus pada Mac.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan IHP teras pada April dan Mei adalah masing-masing sekitar 2.0 peratus hingga 2.18 peratus dan 2.2 peratus hingga 2.40 peratus tahun ke tahun,” katanya.