STOCK SAHAM.CO

Imbuhan untuk Pengerusi, Pengarah FGV dinaikkan

KUALA LUMPUR: Majoriti pemegang saham meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu, termasuk menaikkan elaun Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, AGM secara maya sepenuhnya menyaksikan kesemua resolusi yang dibentang untuk pertimbangan telah diluluskan oleh pemegang saham.

“Kesemua 13 resolusi yang ditetapkan pada Notis AGM ke-14 bertarikh 28 April 2022, dibentangkan pada AGM telah diluluskan,” katanya.

Menurut Notis AGM itu, elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000 atau bersamaan RM25,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh setahun iaitu bermula 24 Jun 2022 sehingga AGM akan datang.

Imbuhan Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.

Selain itu, AGM turut meluluskan pemberian kereta syarikat untuk kegunaan Pengerusi dengan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000 berbanding elaun kereta syarikat sebanyak RM15,000 sebulan termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan sebelum ini.

Elaun perniagaan rasmi turut diberikan kepada Pengerusi Bukan Eksekutif dan Pengarah Bukan Eksekutif FGV sebanyak RM1,000 sehari bagi menghadiri mesyuarat dengan wakil kerajaan atau pihak ketiga seperti perunding, jurubank dan penasihat bagi pihak syarikat dengan laporan rasmi kepada Lembaga Pengarah atau Lembaga Jawatankuasa; atau lawatan rasmi ke projek dan atau rujukan tapak untuk menasihati pengurusan dan atau syarikat.

Mengikut rekod, Pengerusi Bukan Eksekutif FGV ketika ini adalah Datuk Dzulkifli Abd Wahab.

AGM juga turut melantik semula enam Pengarah Bukan Eksekutifnya iaitu Datuk Amiruddin Abdul Satar; Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi; Datuk Mohd Rafik Shah Mohamad; Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin; Kasmuri Sukardi dan Datuk Yatimah Sarjiman

FGV ialah salah satu pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia, menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan MSM Malaysia.

FGV kini beroperasi di sembilan negara di seluruh Asia, Timur Tengah, Amerika Utara dan Eropah.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, FGV merekodkan lonjakan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak lapan kali ganda kepada RM1.17 bilion berbanding hanya RM146 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.

Prestasi luar biasa yang diraih FGV itu disokong pendapatan tahunan lebih tinggi yang meningkat 39 peratus kepada RM19.57 bilion, rekod tertinggi pernah dicatatkan berbanding RM14.07 bilion pada 2020.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular