KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM812 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, meningkat 32 peratus berbanding RM617 juta suku sama tahun sebelumnya.
Pendapatannya pada suku itu turut meningkat kepada RM5.587 bilion berbanding RM4.411 bilion sebelumnya.
Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, kumpulan perladangan itu mencatatkan keuntungan bersih RM1.53 bilion berbanding RM1.18 bilion tempoh sama 2021.
Berikutan keputusan kewangan memberangsangkan itu, Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10 sen sesaham untuk tahun kewangan 2022, meningkat berbanding 7.90 sen sesaham pada tahun kewangan 2021.
Harga minyak sawit mentah MSM dan isirung sawit (PK) yang memberangsangkan terus menyokong prestasi kumpulan perladangan itu yang lebih kukuh meskipun pengeluaran buah tandan segar (BTS) telah terjejas oleh kekurangan tenaga kerja berpanjangan yang dialami dalam operasinya di Malaysia.
Pada suku kedua, purata harga MSM dan PK direalisasikan masing-masing meningkat sebanyak 44 peratus dan 40 kepada RM5,213 setiap tan dan RM3,339 setiap tan.
Sementara itu, segmen hiliran kumpulan, Sime Darby Oils, mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM243 juta pada suku kedua tahun kewangan 2022, peningkatan 66 peratus berbanding RM146 juta pada suku kedua 2021.
Keuntungan yang lebih tinggi itu adalah terutamanya berikutan margin yang lebih baik direkodkan oleh operasi Asia Pasifik yang mengurangkan margin lebih rendah di operasi Eropah serta jumlah keseluruhan jualan lebih rendah.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha, berkata prospek untuk enam bulan akan datang dijangka mencabar berikutan penurunan harga MSM daripada paras tinggi dan isu kekurangan tenaga kerja yang masih belum selesai.
Beliau berkata, kekurangan pekerja asing di Malaysia telah menjejaskan produktiviti kumpulan perladangan itu, sementara langkah baharu yang dimulakan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik telah meningkatkan kos pengeluaran.
Katanya, Sime Darby Plantation masih kekurangan kira-kira 4,000 tenaga kerja membabitkan kerja penuaian, yang mana berdasarkan kiraan mudah, pihaknya menjangkakan kerugian buah tidak dikutip adalah kira-kira 1.2 juta tan memandangkan seorang penuai boleh menuai satu tan sehari, namun menjangkakan kemasukan lebih 3,000 pekerja asing dari Indonesia membabitkan kerja penuaian menjelang hujung tahun ini.
“Kekurangan tenaga kerja membabitkan penuaian sudah pasti memberi kesan kepada prestasi kami di Malaysia. Namun begitu, prestasi keseluruhan akan disokong oleh operasi di luar negara,” katanya pada sidang media secara maya.
Mohamad Helmy berkata, bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja, kumpulan perladangan itu telah mengambil langkah berani untuk mengautomasi dan mendigitalkan kerja yang secara tradisi dilakukan secara manual, sekali gus mengurangkan keperluan tenaga kerja.
“Walaupun melaksanakan rancangan untuk mengautomasi operasi Malaysia, kami telah memulakan usaha baharu untuk transformasi kilang minyak sawit kami kepada kemudahan keselamatan makanan yang diperakui di seluruh operasi.
“Dengan usaha ini dilaksanakan, kumpulan berazam untuk menarik lebih ramai bakat tempatan dan berkemahiran tinggi ke dalam ladang. Kami komited untuk terus memimpin usaha yang membawa perubahan positif kepada industri,” katanya.
Mengenai unjuran harga MSM, Sime Darby Plantation menjangkakan harga MSM akan berlegar pada paras antara RM3,500 hingga RM4,500 satu tan menjelang akhir tahun ini.