KUALA LUMPUR: Gergasi telekomunikasi Ericsson dan Digital Nasional Bhd (DNB), syarikat tujuan khas yang ditubuhkan untuk pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara, berjaya mengendalikan ‘Voice over New Radio' (VoNR) atau panggilan suara radio baharu yang pertama di Malaysia menerusi rangkaian 5G secara langsung.
Dalam kenyataan satu kenyataan, Ericsson berkata ia sekali gus menyediakan platform kepada kedua-dua syarikat untuk menawarkan rangkaian bertaraf dunia untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Menurutnya VoNR menawarkan audio dan video definisi tinggi untuk menambah baik pengalaman pengguna dan membuka peluang meraih perolehan baharu kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) dengan teras 5G tersedia.
Ketua Pegawai Teknologi DNB, Ken Tan berkata: “Kejayaan demonstrasi VoNR ini, dilaksanakan kali pertama melalui rangkaian 5G secara langsung di seluruh negara adalah pencapaian penting teknikal yang terkini bagaimana 5G dapat menawarkan pengalaman pengguna yang baharu dan unggul melalui seni bina 5G Kendiri berasaskan awan.”
Beliau berkata VoNR 5G boleh menjadi pengupaya utama aplikasi generasi akan datang yang menggabungkan kepantasan 5G dan audio definisi tinggi.
“Kami akan terus menawarkan kemampuan 5G bagi menyokong inovasi teknologi di Malaysia,” katanya.
Ericsson berkata teknologi berkenaan berupaya untuk mengendalikan fungsi data dengan serentak seperti memuat turun fail dan bermain video sambil membuat panggilan VoNR.
Katanya kejayaan teknikal itu membuktikan kemampuan rangkaian DNB untuk menyokong seni bina 5G Kendiri (SA) dan 5G Bukan Kendiri (NSA).
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata: “Panggilan VoNR 5G merupakan kemampuan asas yang diperlukan untuk pelaksanaan Radio Baharu Kendiri (SA NR) 5G pada masa akan datang dan membolehkan perkhidmatan yang inovatif ditawarkan di pasaran.
“Ini satu lagi kejayaan penting berikutan kami bekerjasama dengan DNB untuk memberikan rangkaian bertaraf dunia agar dinikmati oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Ericsson berkata VoNR memanfaatkan seni bina SA rangkaian 5G DNB untuk menawarkan pengalaman audio-video definisi tinggi kepada pengguna akhir berikutan kelajuan 5G yang sangat pantas sepanjang tempoh panggilan.
Katanya pada masa ini, panggilan audio dan/video yang dibuat melalui peranti mudah alih adalah tertakluk kepada rangkaian 4G LTE, justeru, peranti pada rangkaian 5G berkenaan akan beralih kepada 4G LTE.
“Kini, peranti bersesuaian untuk menyokong kemampuan VoNR tidak lagi diberikan kepada rangkaian 4G untuk membuat panggilan. Ia sekali gus mengurangkan penukaran rangkaian bagi peranti pada rangkaian 5G.
“Sehubungan itu, dalam masa terdekat, peranti pada rangkaian 5G akan berupaya melakukan panggilan VoNR serentak dan memuat turun fail besar tanpa sebarang gangguan akibat penukaran rangkaian,” katanya.
Katanya ciri-ciri unggul radio 5G akan menambah baik perkhidmatan suara dan komunikasi seperti panggilan video rangkaian-berkesan, interaksi masa nyata dan evolusi berikutnya panggilan suara kepada perkhidmatan yang inovatif.
“Perkhidmatan ini boleh memanfaatkan kelajuan data yang tinggi dan kependaman rendah 5G bagi membolehkan kegiatan suara dan komunikasi masa nyata di antara manusia atau antara manusia dan jentera, misalnya panggilan interaktif, realiti terimbuh, realiti maya dan perkhidmatan lain,” katanya.
Selain itu, menurutnya, peningkatan kapasiti suara dan video turut terlaksana kerana lebih banyak suara dan panggilan video bagi setiap sel di kawasan bandar yang padat.
Pada November 2021, seni bina Rangkaian Teras Operator Berbilang (MOCN) DNB meraih kejayaan penting teknikal di peringkat global berikutan menjadi pengendali pertama yang berjaya menyepadukan Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G dengan lima MNO tempatan.