KUALA LUMPUR: Bank berupaya menyerap kerugian pinjaman Sapura Energy Bhd kerana berkemungkinan telah membuat peruntukan kerugian pinjaman berkenaan, demikian menurut penganalisis.
Sapura Energy yang menanggung hutang RM10.3 bilion menerusi pinjaman daripada sembilan bank, dilaporkan telah memulakan perbincangan untuk rancangan penstrukturan semula hutang dan merancang untuk menjual beberapa aset bagi membolehkan kembali kukuh.
Pengarah/Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata perkembangan terkini membabitkan penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu juga dijangka tidak akan menjejaskan prospek sektor perbankan bagi tahun ini yang dijangka berada pada fasa pemulihan ekonomi.
“Kami tidak dapat mengesahkan mengenai pinjaman berkenaan dan bank yang terbabit, namun secara umumnya, pinjaman bank akan mempunyai cagaran seperti aset syarikat.
“Di samping itu, bank mungkin telah membuat peruntukan untuk kerugian pinjaman. Ini bermaksud, bank boleh menyerap kerugian pinjaman itu,” katanya.
Dalam laporan media baru-baru ini, Sapura Energy difahamkan telah membentangkan pelan penstrukturan semula hutang terperinci yang kini sedang dibincangkan dengan pemiutangnya.
Antara yang menonjol dalam pelan itu ialah sembilan bank berhutang sejumlah RM10.3 bilion perlu melakukan pengurangan besar-besaran sehingga 75 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib, berkata pihaknya telah mendapat sokongan majoriti daripada sembilan peminjam berkenaan untuk memulakan rundingan.
“Sapura Energy tidak mampu lagi mengekalkan operasinya akibat bebanan hutang semasa, yang mana perlu membayar hampir setengah bilion faedah setiap tahun. Lagi cepat kita membuat menyusun semula hutang, lagi baik,” katanya dipetik sebagai berkata.
Aset E&P Sapura Energy termasuk baki 50 peratus pegangan dalam SapuraOMV, sebuah syarikat yang mengendalikan pelantar minyak di perairan Malaysia.
Pada 2018, Sapura Energy menjual 50 peratus daripada aset pelantar minyak kepada kumpulan OMV, syarikat pakaian yang berpangkalan di Austria untuk mewujudkan SapuraOMV.
Penjualan kepentingan itu memberikan pulangan AS$890 juta (RM3.7 bilion) dengan kebanyakan hasil diguna untuk melupuskan sebahagian hutang Sapura Energy.
Sapura Energy mempunyai aset lain yang agak besar, termasuk limbungan fabrikasi di Lumut, enam pelantar penggerudian separuh tender, enam pelantar bantuan tender dan beberapa kapal.
Sementara itu, RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, secara umumnya dipersetujui bahawa kualiti aset bank telah bertambah baik berikutan peruntukan dibuat terhadap perniagaan yang terjejas oleh COVID-19 dan akaun berisiko lebih tinggi.
Ia berkata, kualiti aset tetap kukuh walaupun pinjaman terjejas kasar (GIL) meningkat daripada sektor perlombongan dan pengkuarian yang menaikkan nisbah GIL sistem kepada 1.53 peratus pada Februari 2022 berbanding 1.45 peratus pada Januari 2022.
“Kualiti aset kekal kukuh meskipun mencatat kenaikan 5.7 peratus dari bulan ke bulan dalam GIL sistem.
“Hal ini didorong oleh kenaikan GIL sebanyak tiga kali ganda daripada sektor perlombongan dan pengkuarian yang mungkin disebabkan rosot nilai akaun korporat yang tidak sekata,” katanya.
Menuju ke depan, RHB Research percaya peruntukan yang tidak sekata harus terhad, memandangkan bank telah melaksanakan peruntukan yang wajar sepanjang dua tahun lalu.