KUALA LUMPUR: Sektor perbankan Malaysia, antara yang terkukuh di Asia berada dalam kedudukan yang baik untuk merealisasikan aspirasi negara yang sedang melalui transformasi dan perubahan besar, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, sektor kewangan negara ini yang pelbagai dan maju amat penting dalam memudahcarakan keperluan pembangunan, dengan Malaysia yang terletak strategik di tengah-tengah Asia Tenggara mempunyai salah satu taraf hidup tertinggi di rantau ini.
“Dengan pautan ketersambungan yang cemerlang dan rancangan untuk lebih banyak pelaburan infrastruktur dan modal insan pada tahun-tahun akan datang, negara ini bersedia untuk menjadi pangkalan serantau dan antarabangsa yang ideal untuk perniagaan.
“Kami berhasrat untuk merealisasikan potensi ini dengan meletakkan negara sebagai hab untuk bakat global, pusat pembangunan baharu dan teknologi menarik, serta titik tumpuan untuk pertukaran idea dan maklumat,” katanya.
Beliau berkata, demikian pada pembukaan rasmi ibu pejabat baharu HSBC Malaysia di Menara IQ, yang terletak di pusat kewangan antarabangsa negara, Tun Razak Exchange (TRX).
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne.
Tengku Zafrul berkata, tumpuan utama kini ialah Pelan Tindakan Sektor Kewangan yang memperincikan strategi amat penting bagi sektor kewangan mengharungi cabaran dan peluang yang mendatang, selain merealisasikan matlamat ekonomi digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, pada dasarnya, pelan tindakan itu akan merealisasikan matlamat Malaysia ke arah ‘Kemakmuran, Inklusif dan Mampan' dengan lebih baik.
“Sehubungan ini, kami amat menghargai pelabur sekian lama bertapak di Malaysia seperti HSBC yang memainkan peranan utama di negara ini sepanjang 130 tahun lalu dan kini membantu memudahkan pemulihan ekonomi, pertumbuhan serta transformasi negara.
“Pembukaan ibu pejabat baharu HSBC menunjukkan komitmennya untuk memajukan Malaysia. Kami sememangnya mengalu-alukan komitmen HSBC untuk membantu pertumbuhan dan transformasi negara sepanjang abad yang akan datang dan seterusnya,” katanya.