KUALA LUMPUR: Sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 11-12 peratus oleh Maybank menerusi strategi korporat diperhalusinya, M25+ dilihat lebih realistik dan mampu dicapai, demikian kata CGSCIMB.
Penganalisisnya, Winson Ng, berkata pihaknya kekal positif terhadap Maybank meskipun sasaran ROE bagi tahun kewangan 2025 itu lebih rendah berbanding sasaran di bawah M25 sebelum ini iaitu sekitar 13-15 peratus.
Beliau berkata, sasaran ROE Maybank sebanyak 11-12 peratus itu juga adalah sejajar dengan jangkaan pihaknya iaitu 11.3 peratus.
“Kami jangka pengembangan dalam ROE kumpulan itu daripada unjuran 9.4 peratus bagi tahun kewangan 2022 kepada 11.3 peratus pada tahun kewangan 2025.
“Sebahagian prestasi itu akan dipacu pengembangan dalam marjin faedah bersih (NIM) dalam tahun kewangan 2022-2023 berikutan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR),” katanya dalam nota penyelidikannya.
Ng berkata, CGSCIMB juga mengulangi saranan ‘Add' terhadap Maybank berdasarkan potensi pemangkin penilaian semula susulan pemulihan kukuh dalam pertumbuhan pinjaman di Singapura dan Indonesia.
Beliau berkata, saranan itu juga bersandarkan kepada pengembangan berterusan dalam NIM oleh kumpulan perbankan itu di tengah-tengah kitaran meningkat OPR.
Katanya, hasil dividen Maybank juga dijangka menarik pada 4.8 peratus untuk tahun kewangan 2022.
Maybank komited memacu pembangunan keupayaan baharu terutama dalam teknologi dan warga kerja supaya kumpulan kekal relevan selepas 2025 menerusi strategi korporatnya yang diperhalusi, M25+.
Strategi korporat yang diperhalusi itu menyaksikan kumpulan perbankan terbesar di Malaysia dari segi aset itu memacu pembezaan yang lebih bermakna dalam lima teras strategik utama dan mempercepatkan pembangunan keupayaan utama bagi pertumbuhan jangka panjang.
Lima teras strategik itu akan dibina di atas asas yang berpandukan pelan M25 sebelum ini yang dilancarkan tahun lalu, memfokuskan pada mempergiatkan keutamaan pelanggan, mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi, mengukuhkan
kehadiran dan kedudukan perniagaan Maybank di luar Malaysia, memacu kedudukan kepimpinannya dalam agenda kemampanan dan menjadi peneraju global dalam perbankan Islam.
Strategi yang diperhalusi itu disandarkan pada tujuan yang lebih mendalam iaitu ‘Menjadi Platform Didorong Nilai, Dikuasakan oleh Tenaga Kerja Bionik yang Menginsankan Perkhidmatan Kewangan'.