STOCK SAHAM.CO

PNB umum Rangka Kerja Kelestarian baharu

KUALA LUMPUR: (PNB) bercadang melabur RM10 bilion dalam aset hijau menjelang 2030 di bawah Rangka Kerja Kelestarian baharunya.

Syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan lebih RM300 bilion itu telah mengenal pasti 10 komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merentas syarikat dan pelaburannya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata sebagai pemegang amanah kekayaan dan aset Malaysia yang dipercayai, PNB bertanggungjawab untuk memimpin dan melaksanakan perubahan bagi memastikan peralihan yang teratur dan saksama ke arah ekonomi yang mampan.

Beliau berkata, di bawah teras Persekitaran, PNB komited kepada syarikat karbon sifar bersih menjelang 2025 dan mencapai portfolio karbon sifar bersih menjelang 2050.

Katanya, bagi teras Sosial pula, PNB bermatlamat untuk menangani isu-isu mengenai ekuiti dan keterangkuman, termasuk mengambil pendirian tegas terhadap isu hak pekerja demi mengukuhkan lagi Rangka Kerja Pengawasan yang dilancarkan pada 2020, memastikan semua kakitangan PNB memperoleh gaji melebihi upah sara hidup menjelang 2023 dan menetapkan sasaran 40 peratus penyertaan wanita di peringkat pengurusan kanan menjelang 2025.

Jelasnya, di bawah teras itu, syarikat juga komited untuk mengimbangi keuntungan PNB dengan pelaburan sosial agar sejajar dengan misi meningkatkan kekayaan untuk Bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

“Bagi teras Tadbir Urus pula, PNB akan terus menyokong amalan tadbir urus yang kukuh dengan memperhalusi model pengawasan untuk memastikan ia bukan saja meliputi keuntungan tetapi juga orang ramai dan planet,” katanya pada sidang media secara maya mengumumkan Rangka Kerja Kelestarian PNB. Hadir sama, Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria.

Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, PNB akan bekerjasama dengan syarikat pelaburannya ke arah membangunkan pelan penciptaan nilai yang akan memastikan pertumbuhan mampan operasi dan prestasi kewangan mereka.

Beliau berkata, terdapat tekanan yang hebat pada masa kini untuk syarikat menunjukkan prestasi kewangan, dan pada masa yang sama turut menerapkan aspek ESG ke dalam perniagaan mereka.

“Kami percaya bahawa, melalui usaha kolektif kami, cara baharu menjalankan perniagaan ini akan mewujudkan manfaat yang bermakna untuk PNB, syarikat pelaburan kami, rakan kongsi serta pihak berkepentingan lain, dan pastinya jutaan rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk mengurus pelaburan mereka,” katanya.

PNB diwujudkan oleh kerajaan untuk objektif sosio-ekonomi yang merangkumi menggalakkan keterangkuman kewangan dalam kalangan semua rakyat Malaysia.

Sepanjang 43 tahun yang lalu, PNB telah melaksanakan mandatnya untuk menjana pulangan yang mampan kepada pemegang unitnya dan telah berkembang untuk mengurus lebih daripada RM300 bilion aset untuk mereka.

Ia juga telah membina pelan pembangunan bakat yang mampan untuk kakitangan dan kepimpinan masa depan melalui program biasiswanya.

Di samping itu, PNB telah mempunyai 35 peratus pembabitan wanita dalam pengurusan kanan dan komited untuk meningkatkan lagi bilangan kakitangan wanita di tempat kerja.

Dalam usaha memastikan kejayaan pelaksanaan Rangka Kerja Kelestariannya, PNB telah mewujudkan struktur tadbir urus komprehensif yang terdiri daripada jawatankuasa pengurusan yang berperanan melaporkan kepada Lembaga Pengarah.

Selaras dengan itu, PNB telah mewujudkan dua fungsi baharu, iaitu Bahagian Pengawasan Pelaburan dan Jabatan Kelestarian Perusahaan yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan keseluruhan rangka kerja berkenaan.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular