STOCK SAHAM.CO

Pelarasan OPR dibuat bergantung keadaan ekonomi

KUALA LUMPUR: Kenaikan beberapa kali secara berturut-turut tidak bermakna akan terus menaikkan kadar itu pada setiap mesyuaratnya, demikian jelas (BNM).

Ia berkata, MPC akan terus memantau keadaan ekonomi pada setiap mesyuarat MPC dan menentukan sama ada pelarasan pada OPR perlu dibuat atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, katanya, MPC tidak menjangkakan sebarang pelarasan mendadak seperti di beberapa negara lain, yang bermakna pelarasan pada kadar OPR, sekiranya ada, akan dibuat secara beransur-ansur.

Jelasnya, faktor global, seperti perubahan kadar dasar bank-bank pusat lain, akan dipertimbangkan hanya dari segi kesan perubahan berkenaan ke atas risiko prospek inflasi dan pertumbuhan di Malaysia.

“Sesetengah bank pusat lain meningkatkan kadar faedah dasar mereka dengan lebih cepat dan dalam jumlah yang lebih besar kerana tindakan itu diperlukan bagi ekonomi mereka. Hal ini tidak bermaksud MPC perlu mengambil tindakan yang sama.

“Apabila menetapkan OPR, MPC memberikan keutamaan kepada ekonomi dalam negeri bagi memastikan keputusan OPR yang paling sesuai dengan keperluan negara,” kata BNM dalam kemas kini soalan lazim mengenai Pernyataan Dasar Monetari (MPS).

Mengulas lanjut, BNM berkata, pada masa ini, ekonomi tidak lagi mengalami krisis, yang mana ekonomi Malaysia telah pulih dengan pantas sejak awal 2022.

Justeru, katanya, MPC telah mula membuat pelarasan pada OPR secara beransur-ansur, yang mana tindakan itu sama seperti doktor yang perlu menyesuaikan dos ubat mengikut keadaan pesakit.

BNM juga menegaskan adalah penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan tanpa menimbulkan masalah lain, yang mana bank pusat itu berhati-hati dengan tidak melaksanakan dasar yang mungkin memberikan pertumbuhan yang pesat pada masa ini tetapi boleh mengakibatkan ekonomi merudum pada masa hadapan.

Ia menjelaskan, pertumbuhan mampan bermaksud kadar ekonomi yang terus berkembang pada kadar yang stabil untuk suatu tempoh yang lama.

Katanya, meskipun ada sesetengah pihak berpendapat langkah untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi melebihi kadar yang mampan adalah idea yang baik, hal itu ibarat membuat pecutan yang terlalu laju dalam maraton.

Bank pusat menjelaskan, dalam keadaan itu, anda mungkin berada di hadapan buat sementara waktu tetapi anda juga akan cepat penat dan mungkin tidak dapat menghabiskan larian itu.

“Oleh itu, pertumbuhan yang berterusan tanpa menimbulkan masalah lain adalah lebih penting. Kita sudah melihat pertumbuhan yang terlalu tinggi atau yang didorong oleh kredit yang mudah diperoleh boleh menjejaskan ekonomi dengan teruk, contohnya di negara yang menghadapi inflasi yang terlampau tinggi.

“Apabila hal ini berlaku, rakyatlah yang akan menanggung akibatnya dan menjadi lebih miskin, termasuk generasi akan datang. Pertumbuhan yang mampan dapat mengukuhkan ekonomi daripada mengalami kitaran pesat dan meleset,” katanya.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular