MBSB Bank sedia pembiayaan khusus peniaga wanita

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: MBSB Bank Bhd (MBSB Bank) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bagi memperkasakan sumbangan ekonomi yang diusahakan oleh peniaga-peniaga wanita di seluruh negara.

MBSB dalam satu kenyataan berkata, kerjasama strategik yang dibentuk itu adalah untuk menyokong program yang akan dijalankan oleh sayap wanita DPMM iaitu Dewan Perniagaan Wanita Melayu (DEWANITA).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib, berkata kerjasama itu akan membantu mewujudkan kehadiran yang lebih besar dalam ruang perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Berdasarkan rancangan perniagaan MBSB Bank, kami menjangkakan untuk pertumbuhan sebanyak RM50 juta dalam aset pembiayaan daripada kerjasama ini,” katanya.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Presiden DEWANITA, Datuk Nor Haliza Hussain dan Ketua Perbankan Korporat MBSB Bank, Noor Hanim Ahmad Kushairi.

Ia disaksikan oleh Nor Azam dan Timbalan Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon.

Nor Azam berkata, peluang untuk bekerjasama dengan DEWANITA memberi impak positif kepada bank kerana organisasi itu menjadi antara pemangkin pertumbuhan ekonomi dan keusahawanan wanita.

“Kami berharap agar program pembiayaan ini dapat menyokong pengembangan perniagaan dan keperluan kewangan mereka serta mempertingkatkan daya saing usahawan wanita yang berpotensi.

Sementara itu, Norsyahrin berkata, terdapat banyak syarikat tempatan yang ingin lebih berdaya saing tetapi memerlukan sokongan dari institusi perbankan.

“Dengan penawaran instrumen kewangan patuh syariah dan mensasarkan sektor PKS sebagai pelanggan utama mereka dapat menjadi sandaran usahawan Melayu dan Bumiputera khususnya dalam iklim pasaran yang terbuka dan kompetitif,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini