Kaji semula pelaksanaan gaji minimum – FMM

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan memberi kesan ke atas kos gaji keseluruhan selain berpotensi meningkatkan kos perniagaan.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata ia juga bakal memberi impak kepada operasi perniagaan serta pemulihan ekonomi.

“FMM kecewa kerana gesaan untuk pelarasan progresif kepada gaji minimum di bawah keadaan perniagaan semasa tidak dipertimbangkan.

“Kenaikan daripada kadar gaji minimum semasa RM1,200 kepada RM1,500 mewakili peningkatan serta-merta sebanyak 25 peratus ke atas gaji pokok yang akan memberi kesan kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Thian Lai berkata, berdasarkan Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-MIER Separuh Kedua 2021 baru-baru ini, majoriti responden berpendapat bahawa kenaikan RM100 dalam gaji minimum adalah kadar yang boleh diterima dalam keadaan ekonomi semasa.

Beliau berkata, sehubungan itu, FMM telah mencadangkan kepada kerajaan supaya pelarasan gaji minimum dilaksanakan secara berperingkat dengan RM100 peningkatan pada suku ketiga 2022 dan pelarasan seterusnya pada 2023 atau 2024 untuk mencapai RM1,500.

Di samping itu katanya, tinjauan juga mendapati peningkatan kos menjalankan perniagaan yang berpunca daripada pelbagai faktor kos akan memberi kesan mendalam terhadap pemulihan perniagaan dan kelestarian.

“Risiko berterusan yang ditimbulkan oleh pandemik dan varian Omicron semasa yang berterusan memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan ketersambungan logistik.

“Malah kenaikan harga bahan mentah termasuk kesan caj pengangkutan laut yang lebih tinggi memberi kesan kepada industri sejak Julai 2021.

“Perniagaan juga berhadapan dengan tekanan kos akibat kenaikan harga komoditi, harga tenaga dan kekurangan bekalan buruh,” katanya.

Thian Lai berkata, sehubungan itu, FMM merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 pada Mei 2022.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya mengambil pendekatan kenaikan progresif seperti yang dicadangkan FMM.

“Kami merasakan bahawa kenaikan kadar gaji yang lebih beransur-ansur dapat menangani kenaikan kos sara hidup yang disebabkan oleh pandemik dan gangguan bekalan yang berlaku.

“Di samping itu, majikan terus merancang untuk kenaikan gaji pada 2022 dan ini akan menangani lagi tekanan kos sara hidup.

“FMM percaya bahawa dengan kawalan yang diperlukan ke atas kenaikan kos dilaksanakan oleh kerajaan serta usaha bersepadu oleh industri untuk membiayai kenaikan kos secara dalaman, majikan boleh terus mengekalkan pekerjaan dan pelarasan gaji,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini