STOCK SAHAM.CO

Kadar faedah pinjaman mungkin meningkat seawal Julai

KUALA LUMPUR: (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman, (OPR) yang menjadi penanda aras pinjaman tempatan pada separuh kedua tahun ini.

Jangkaan itu meskipun bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) semalam sekali lagi menaikkan kadar faedah di negara itu sebanyak 50 mata asas bagi membendung gelombang peningkatan inflasi.

BNM, menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengadakan mesyuarat berikutnya bagi memutuskan OPR pada 11 Mei depan, namun mesyuarat pertama bagi separuh kedua 2022 akan diadakan pada 6 Julai depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata OPR adalah lebih rendah berbanding penanda aras di AS, Kadar Dana Persekutuan (FFR), yang berada pada paras terendah -175 mata asas dari September 2006 hingga Ogos 2007.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menunjukkan bahawa sebarang pergerakan dalam FFR tidak semestinya mengubah paras OPR dalam sekelip mata dan keputusan dasar oleh BNM adalah bebas daripada Fed.

“Kami percaya BNM akan menilai ekonomi Malaysia atas meritnya sendiri untuk mencapai paras yang sesuai untuk OPR. Kami mengekalkan saranan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2022,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengenai prestasi ringgit berbanding dolar AS susulan kenaikan kadar faedah di negara maju itu, Mohd Afzanizam percaya mata wang tempatan mungkin akan berlegar sekitar paras RM4.30 hingga RM4.34 memandangkan terdapat kejelasan yang lebih baik dalam hala tuju dasar monetari Fed.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan ringgit berbanding dolar AS akan mengakhiri tahun ini pada paras RM4.15.

Bank pusat AS semalam menaikkan kadar faedah sebanyak setengah mata peratusan untuk menangani inflasi terburuk yang dialami ekonomi terbesar dunia itu dalam tempoh 40 tahun.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS semasa mesyuaratnya pada 3 dan 4 Mei memutuskan sebulat suara untuk menaikkan FFR sebanyak 50 mata asas, menjadikan kadar dasar kepada 0.75 peratus dan 1.0 peratus daripada 0.25 peratus kepada 0.50 peratus.

Sementara itu, HLIB Research dalam nota penyelidikannya turut mengekalkan jangkaannya bahawa BNM akan mengekalkan kadar OPR pada paras 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bulan ini.

Cabang penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) itu berkata, pihaknya mengekalkan unjuran itu memandangkan pemulihan ekonomi negara adalah seperti yang dijangkakan dan tekanan inflasi tidak seteruk berbanding AS.

Justeru, pihaknya menjangkakan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas pada suku keempat tahun ini.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular