Bank Dunia saran Malaysia ubah struktur asas ekonomi

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan transformasi struktur asas ekonomi untuk melonjakkan pertumbuhan produktiviti, demikian menurut Bank Dunia.

Naib Presiden Serantau Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Manuela V. Ferro, berkata walaupun Malaysia melakukan usaha yang agak baik daripada negara serantau yang lain, namun negara ini masih ketinggalan berbanding rakan aspirasi globalnya yang merekodkan hampir tiga kali ganda tahap produktiviti.

“Selain itu, terdapat variasi ketara dalam tahap produktiviti dalam kalangan firma di Malaysia.

“Anggaran prapandemik mencadangkan bahawa firma yang lebih kecil secara umumnya ketinggalan dengan ketara di belakang rakan setara mereka yang lebih besar,” katanya.

Beliau menambah, firma dengan pengagihan produktiviti 25 peratus teratas adalah hampir 12 kali lebih produktif daripada yang berada di 25 peratus terbawah.

“Pandemik telah memburukkan lagi perbezaan ini,” katanya.

Ferro berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perbelanjaan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia menurun selepas meningkat secara berterusan sehingga 2016.

Perbelanjaan awam kasar untuk R&D susut daripada 1.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2016 kepada 1.0 peratus daripada KDNK pada 2018.

“Ini tidak mencapai matlamat yang dijangkakan Malaysia iaitu 2.0 peratus daripada KDNK dan purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sebanyak 2.6 peratus,” katanya.

Bank Dunia juga mendapati, firma Malaysia berkemungkinan kurang berbelanja untuk R&D berbanding syarikat serantau.

“Penglibatan kami dengan kerajaan memberi peluang untuk melihat bidang dasar yang berkaitan bagi membantu merangka laluan ke hadapan.

“Salah satu aspek yang kami fokuskan dalam kerja kami baru-baru ini adalah berkaitan dengan peningkatan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata Ferro.

Berdasarkan analisis yang dijalankan dalam ‘Kajian Semula Program PKS’, Bank Dunia berkata, Malaysia boleh mempertimbang menyelaraskan semula sokongan awamnya terhadap PKS untuk bukan sahaja membolehkan pemulihan yang diterajui sektor swasta daripada pandemik, tetapi juga menyokong inovasi peringkat firma.

Satu lagi kajian Bank Dunia bertajuk ‘Penilaian Ekosistem Pembiayaan Permulaan Malaysia’ mendedahkan aktiviti modal teroka Malaysia secara relatifnya rendah berbanding rantau ini, terutama berhubung dengan tahap pembangunan ekonominya.

Sementara itu, penilaian terhadap keberkesanan institusi penyelidikan awam mendapati walaupun perkaitan antara akademik dan industri meningkat dari semasa ke semasa, secara amnya ia kekal lemah, justeru menjejaskan pengkomersilan hasil penyelidikan.

“Adalah sesuatu yang amat menggembirakan untuk melihat sebagai tindak balas kepada cadangan laporan itu, kerajaan menubuhkan Unit Pengurusan Penyelidikan untuk mengorientasikan semula program pemindahan teknologi dan pengkomersilannya agar lebih responsif kepada keperluan industri,” kata Ferro.

Berdasarkan laporan berkenaan, Bank Dunia mengesyorkan kerajaan untuk meningkatkan penggubalan dasar berasaskan bukti untuk pembangunan PKS dengan meningkatkan pemantauan dan penilaian program kerajaan serta penyelarasan antara agensi; menyusun semula program PKS untuk menyokong keperluan pendigitalan dan peningkatan kemahiran; selain mengimbangi semula campuran dasar ke arah peringkat idea dengan program yang membabitkan pelaburan swasta.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini