STOCK SAHAM.CO

Tiga faktor cetus kemungkinan OPR akan dinaikkan lagi

KUALA LUMPUR: Prospek kadar faedah tinggi di pasaran luar, kelemahan ringgit dan peningkatan risiko inflasi akan mendorong (BNM) untuk terus menaikkan , yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman di Malaysia pada bulan ini.

Ketua Ahli Ekonomi/Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata kelemahan ringgit akan memberi tekanan meningkat terhadap kos mengimport menjadi lebih tinggi.

Beliau berkata, dolar Amerika Syarikat (AS) mendapat manfaat daripada langkah agresif bank pusat AS, Rizab Persekutuan (Fed) dan sebagai mata wang lindung nilai berikutan situasi geopolitik yang meningkat.

“Kebimbangan kini lebih kepada inflasi yang dipacu permintaan berikutan pasaran pekerjaan yang bertambah baik dan kadar upah yang tinggi, ” katanya menerusi satu nota penyelidikan.

Anthony berkata, kadar pekerjaan berkembang pantas 4.2 peratus pada Jun, tertinggi sejak 2014, sementara jumlah kekosongan dalam pasaran pekerjaan adalah tinggi pada 460,000 kekosongan, empat kali lebih tinggi berbanding pra-pandemik dengan purata 100,000 kekosongan.

Beliau berkata, pertumbuhan upah dalam sektor penting juga tinggi, termasuk sektor pembuatan sebanyak 2.4 peratus pada Jun 2022 berbanding purata empat tahun lalu sebanyak 0.7 peratus), dan sektor perkhidmatan sebanyak 4.2 peratus pada Jun 2022 berbanding purata lima tahun sebanyak 1.3 peratus.

“Gabungan faktor-faktor ini boleh memberi tekanan kepada inflasi dipacu permintaan, sesuatu yang sedang diperhatikan dengan teliti oleh BNM.

“Oleh sebab itu, kami percaya BNM akan menaikkan lagi 25 mata asas (OPR) dalam mesyuarat seterusnya pada September dan mungkin 25 mata asas lagi (40 peratus kebarangkalian) dalam mesyuarat pada November tahun ini, menjadikan OPR kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Inflasi di Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Indeks makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada bulan itu.

Peningkatan inflasi Malaysia pada Julai itu turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai hingga September 2021.

Sementara itu, Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) berkata, paras semasa OPR masih di bawah paras prapandemik sebanyak 75 mata asas dan masih menyokong pertumbuhan ekonomi.

Menuju ke depan, ia berkata, prospek kadar faedah yang lebih tinggi di pasaran luar, ringgit yang lemah dan risiko inflasi yang meningkat akan mengekalkan BNM pada laluan pengetatan monetari.

“Dengan petunjuk yang berpandangan ke depan mencadangkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh terdekat, kami menjangkakan kenaikan kadar berterusan kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun selagi jurang kadar menjadi kebimbangan,” katanya.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM telah menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei dan 6 Julai lalu masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini.

MPC dijadual mengumumkan pelarasan OPR selanjutnya pada 8 September ini.

Sementara itu, MIDF Research berkata, seperti yang dijangkakan, inflasi teras terus meningkat 3.4 peratus, peningkatan terpantas sejak April 2016.

Ia berkata, aliran menaik dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) teras menunjukkan tekanan harga asas daripada permintaan dalam negeri yang melonjak, disokong oleh keadaan pasaran pekerjaan yang bertambah baik dan kesan positif daripada pembukaan semula ekonomi.

“Kami berpendapat peningkatan yang stabil dalam inflasi teras, di samping pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang teguh, meningkatkan peluang untuk BNM mempertimbangkan satu lagi kenaikan kadar pada September 2022,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengemukakan saranan kepada BNM supaya mengenal pasti punca sebenar kenaikan kadar inflasi sebelum mengambil keputusan drastik untuk melaksanakan dasar monetari menguncup dengan menaikkan OPR.

“Faktor utama yang perlu diambil kira adalah pengaruh besar gangguan dalam rantaian bekalan akibat perang di Ukraine serta dasar yang ketat di China dalam menyebabkan peningkatan harga barangan.

“Ini kerana peningkatan OPR pasti akan memberikan kesan negatif kepada banyak sektor lain, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi domestik negara kita yang masih berada dalam fasa pemulihan ketika ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular