STOCK SAHAM.CO

Sasaran ekonomi #Malaysia wajar disemak semula

BANGI: Kerajaan perlu menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini selepas krisis - yang kini berlarutan lebih sebulan dijangka memberi kesan kepada ekonomi dunia.

Profesor Ekonomi UKM-Graduate School of Business yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali, berkata penilaian itu wajar dilakukan mengambil kira pendirian Tabung Kewangan Dunia (IMF) yang sudah memaklumkan akan membuat penilaian semula dalam pertumbuhan ekonomi dunia bagi tahun ini.

“Jika dinilai secara langsung mungkin tidak begitu kelihatan kesan krisis ini kepada negara kerana hubungan perdagangan ekonomi Malaysia dengan Russia dan Ukraine tidak terlalu besar.

“Namun, memandangkan ia membabitkan kuasa besar iaitu Russia dan (pihak) di sebalik Ukraine seperti NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan Amerika Syarikat (AS), potensi untuk ia memberi implikasi kepada pertumbuhan ekonomi dunia dan negara lain adalah besar.

“Justeru, saya berpendapat, adalah perlu untuk kerajaan menyemak semula pertumbuhan ekonomi negara yang dianggarkan untuk berkembang di antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel di dalam siri wacana Alumni UKM-GSB Konflik Russia-Ukraine – Impak Terhadap Ekonomi Malaysia di Bangunan Canselori di sini.

Wacana itu turut disertai Felo Kanan di Institut Keamanan Global(GPI), London, Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam dan dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar.

Nilai eksport Malaysia ke Ukraine adalah 0.05 peratus atau AS$135 juta (RM569.7 juta) manakala nilai eksport ke Russia pula sebanyak 0.47 peratus atau AS$1.01 bilion (RM4.2 bilion).

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, kesan lain akibat krisis dua negara itu ialah kepada industri dan sektor yang khusus, terutama dalam dua komponen iaitu sumber tenaga seperti minyak dan gas serta lebih membimbangkan, sektor makanan.

“Kedua-dua negara ini adalah pembekal terbesar kepada input kepada pertanian. Maka, dalam konteks Malaysia, kita memang sudah pun berhadapan dengan kenaikan harga barang makanan dan sebagainya.

“Jadi, saya merasakan amat perlu untuk kerajaan mendalami dan membuat persediaan yang rapi mempersiapkan rakyat untuk bertindak balas dalam keadaan begini.

“Ini kerana, apabila bahan tenaga dan harga makanan meningkat, kesan kepada kumpulan pendapatan rendah khususnya adalah amat besar, justeru perlu kita bersedia lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Mohd Mizan berkata, Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang mampu berdikari dan membina kekuatannya sendiri selain dan tidak terlalu bergantung kepada negara lain terutama membabitkan sumber makanan dan kesihatan.

Beliau yang juga Profesor Madya di Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Perlis berkata, negara yang mampu berdikari seperti Iran dan China akan selamat apabila berdepan dengan krisis seperti peperangan.

“Negara yang dikenakan sekatan dan ditekan, berjaya membangunkan kekuatan mereka sendiri, manakala kita pula terlalu banyak bergantung kepada negara luar.

“Jika ada peperangan, kita akan alami masalah manakala negara yang berdikari akan selamat,” katanya.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular