Program Perintis Usahawan Digital pemangkin ekonomi

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Program Perintis Usahawan Digital diharap dapat membentuk sejumlah usahawan yang mengguna pakai teknologi digital dalam urusan perniagaan mereka, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, bermula di Jeli, program itu bakal dikembangkan ke daerah lain dan seterusnya ke peringkat negeri serta kebangsaan.

“Usaha untuk membangunkan ekonomi digital adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merealisasikan matlamat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Saya berharap program ini dapat membentuk sejumlah usahawan yang mengguna pakai teknologi digital dalam urusan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MyDIGITAL yang memetik ucapannya pada Program Sembang Digital Usahawan Jeli dan pelancaran Program Perintis Pemerkasaan Usahawan Digital.

Program itu adalah anjuran MyDIGITAL Corporation, agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan ekonomi dan industri di kawasan pantai timur.

Objektif utama Program Perintis Usahawan Digital adalah untuk memberi latihan, bimbingan serta pementoran kepada usahawan yang terpilih dalam mendigitalkan operasi perniagaan masing-masing, yang mana secara tidak langsung, inisiatif itu dapat membantu mempertingkatkan produktiviti dan hasil serta marjin keuntungan yang lebih baik.

Program berkenaan adalah kerjasama antara pihak awam dan swasta, dan dijalankan sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah pimpinan rakan penggiat industri sektor swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Fabian Bigar, berkata berteraskan mandat MyDIGITAL Corporation dalam melaksanakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), pihaknya sentiasa mencari peluang kerjasama awam-swasta dalam usaha memupuk pendigitalan, demi mencapai matlamat negara untuk menjadi peneraju ekonomi digital serantau.

Beliau berkata, Program Perintis Pemerkasaan Usahawan Digital itu adalah langkah pertama ke arah memupuk pendigitalan sektor keusahawanan yang meluas.

Pelaksanaan program itu membabitkan sesi latihan pendigitalan perniagaan, tunjuk ajar atau ‘mentoring’ dan pemantauan selama satu tahun bermula 5 Mac 2022 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sesi bimbingan akan terus berjalan dan dipantau oleh jurulatih sehingga program tamat, manakala pihak MyDIGITAL dan ECERDC juga akan membuat pemantauan dan penilaian tahap keberkesanan program itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata pihaknya menyambut baik kerjasama dengan MyDIGITAL kerana ia adalah kesinambungan inisiatifnya semasa pandemik untuk membantu usahawan berhijrah ke platform e-dagang melalui penerapan pendigitalan dalam perniagaan menerusi program pembangunan modal insan ECERDC iaitu empower ECER.

Beliau berkata, kerjasama itu akan menyokong program empower ECER dan mempertingkatkan keupayaan digital usahawan ECERDC.

Katanya, sejak 2011, di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, ECERDC telah melatih 5,920 peserta di Kelantan dan daripada jumlah itu 4,694 usahawan telah dilahirkan dan 814 peluang pekerjaan telah diwujudkan.

“Di jajahan Jeli saja, ECERDC telah melahirkan lebih 500 usahawan dan dalam aspek pendigitalan perniagaan 100 peratus telah mengoptimumkan penggunaan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp dan kini mencatatkan peningkatan pendapatan secara purata antara RM1,800 hingga RM18,000 sebulan.

“Pada tahun ini, ECERDC sedang melatih 150 peserta baharu di Jeli dan mereka dijadualkan tamat mengikuti program pada September 2022,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini