KUALA LUMPUR: Tekanan inflasi dijangka semakin mereda disokong isu berkaitan bekalan yang semakin pulih disebabkan ekonomi semakin hampir kepada pembukaan semula sepenuhnya.
AmBank Research dalam nota penyelidikannya berkata, bagi setahun penuh 2022, ia menjangkakan inflasi utama berada antara 2.4 peratus hingga 2.6 peratus.
“Kesan asas rendah yang semakin menghilang dan harga siling petrol untuk RON95 dan diesel dapat menangani tekanan inflasi.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan pemindahan harga akan berlaku disebabkan harga input lebih tinggi disebabkan harga komoditi dan bahan yang lebih tinggi,” katanya.
AmBank Research berkata, bacaan inflasi teras yang lebih tinggi juga menunjukkan bahawa mungkin terdapat faktor tarikan permintaan yang menyebabkan harga menjadi tinggi dan meluas.
“Dengan ketegangan di Eropah Timur, terdapat kemungkinan harga komoditi melonjak dan berlaku gangguan selanjutnya dalam rantaian bekalan global.
“Daripada perspektif dasar monetari, kami menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) satu hingga dua kali tahun ini kepada 2.00 peratus atau 2.25 peratus menjelang akhir 2022,” katanya.
Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi meningkat sebanyak 2.3 peratus tahun ke tahun pada Januari, lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun dan purata tahun lalu sebanyak 2.5 peratus.
Sementara itu, CGS-CIMB berkata, campur tangan harga oleh kerajaan mengekalkan kadar inflasi pada tahap sederhana, selain turut membendung tekanan.
“Kami menaikkan unjuran inflasi tahun ini kepada 2.5 peratus selepas mengambil kira harga komoditi yang tinggi berterusan dan kesan tidak langsung daripada kenaikan tarif elektrik untuk pengguna bukan domestik mulai Februari.
“Semakan bacaan kekal sederhana terutama disebabkan kehilangan kesan asas rendah daripada bahan api dan elektrik serta kawalan harga selanjutnya ke atas barangan keperluan oleh kerajaan,” katanya.